fbpx

Dua anggota polis URB dirempuh kereta warga emas berhalusinasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta dipandu warga emas berkenaan.

SERI ISKANDAR – Dua anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) cedera ringan selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Kedua-dua anggota URB berkenaan iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 32 dan 26 cedera pada bahagian badan akibat rempuhan itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superitendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing berpangkat Lans Korperal dan bertugas di Balai Polis Seri Iskandar itu dilanggar suspek ketika mahu keluar bertugas.

Beliau berkata, suspek yang berusia 64 tahun tersebut sebelum itu memandu sendiri keretanya diiringi anggota polis ke Balai Polis Seri Iskandar selepas terbabit kemalangan di kawasan Seri Iskandar pada 12.10 tengah hari.

“Ketika melalui pos pengawal warga emas itu berhenti, namun tiba-tiba dia mengundurkan keretanya dan melanggar Proton Preve milik polis yang berhenti di belakang keretanya.

“Suspek kemudian memecut masuk ke dalam kawasan IPD dan melanggar dua anggota ronda yang mahu keluar bertugas menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Rosdi berkata, selepas merempuh mangsa, suspek terus memandu dan menyeret satu daripada motosikal mangsa sejauh hampir 100 meter sebelum dikejar beberapa anggota.

Katanya, suspek hanya berhenti selepas keretanya melanggar sebatang pokok sebelum akhirnya dia berjaya ditahan.

“Dua anggota yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk rawatan lanjut.

“Suspek yang tidak cedera turut dibawa ke hospital sama untuk diambil sampel ujian darah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini motif kejadian belum dapat dipastikan dan lelaki warga emas itu juga didapati bercakap seorang diri dipercayai berhalusinasi.

Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI