fbpx

Airbnb cadang sediakan insentif kepada hos STRA dalam Belanjawan 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Airbnb menantikan pembentangan Belanjawan 2021 pada hari Jumaat ini dengan harapan agar semua pemain industri dapat memanfaatkan rancangan pemulihan ekonomi termasuk komuniti hos di Malaysia, yang kebanyakannya terdiri daripada individu biasa dan pengusaha hospitaliti mikro.

Menurut Ketua Dasar Awam (Asia Tenggara) Airbnb, Mich Goh, berdasarkan peranan penting hos penginapan jangka pendek dalam memacu industri pelancongan Malaysia, pihaknya mencadangkan kerajaan memberi beberapa insentif utama yang dikhaskan kepada hos Penginapan Sewa Jangka Pendek (STRA) untuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jelas beliau, antara insentifnya ialah penangguhan pembayaran ansuran cukai kepada perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan dan kemudahan Dana Pelancongan Penjana bernilai RM1 bilion untuk mem­biayai inisia­tif transformasi dalam sektor ini.

“Kerajaan juga diharapkan dapat membuat membuat pembayaran sekali sebanyak RM600 dan pelepasan cukai pendapatan peribadi sebanyak RM1,000 untuk perbelanjaan yang berkaitan dengan pelancongan domestik sehingga Disember 2021.

“Baucar digital yang bernilai sehingga RM100 kepada semua rakyat Malaysia bagi tujuan pelancongan domestik termasuk untuk tempahan Airbnb,” kata­nya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Goh menjelaskan, Airbnb juga berharap agar kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk melanjutkan penangguhan moratorium secara sasar atau bantuan untuk pembayaran balik gadai janji ke atas harta tanah yang digunakan untuk aktiviti STRA.

“Ini boleh dilaksanakan sehingga sektor pelancongan kembali pulih atau sekurang-kurangnya sehingga Mac 2021,” ujarnya.

Menurut Goh, berdasarkan tinjauan terhadap tuan rumah Airbnb di Malaysia, sebanyak 51 peratus daripada mereka menjadikan hos sebagai pekerjaan utama.

“Oleh kerana sempadan Malaysia akan ditutup sehingga ­akhir tahun ini dan mungkin akan berlanjutan lebih lama daripada tempoh tersebut, bantuan yang di­sasarkan ini akan dapat menyokong individu yang kehilangan pendapatan atau mengalami pemotongan gaji.

Menurut kajian, Airbnb, kumpulan tuan rumah yang terjejas mewakili sebanyak 69 peratus.

“Mereka juga telah kehilangan 61 peratus hingga 100 peratus daripada pendapatan mereka berbanding tahun lalu.

“Walaupun kami menghargai usaha kerajaan dalam memberikan penangguhan moratorium secara dasar mulai 1 Oktober lalu, hanya 24 peratus daripada hos yang mengambil bahagian dalam tinjauan Airbnb baru-baru ini mendapat manfaat daripada program tersebut,” terang Goh lagi.