AKHIR bulan lalu, kecoh mengenai tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang menamatkan perkhidmatan lebih tiga dekad bekas Ketua Pengarah, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar.
Pun begitu, lantikan baharu bagi jawatan tersebut telah pun dilaksanakan secepat mungkin bagi meneruskan visi dan misi ditetapkan pihak kementerian.
Hasil perbincangan, Manoharan Periasamy dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 26 Februari lalu atas komitmen dan sumbangan besarnya kepada lembaga pelancongan tersebut.
Wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual Manoharan bagi mengulas lebih lanjut mengenai perancangan serta hala tuju Tourism Malaysia di bawah kendaliannya.
KOSMO! AHAD: Pertama sekali tahniah diucapkan kepada tuan selepas dilantik menjawat jawatan Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Justeru, apakah visi dan misi tuan apabila diberi kepercayaan menjawat jawatan ini?
MANOHARAN: Pada tahun ini, Malaysia menyasarkan ketibaan 27.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM102.7 bilion. Pada masa sama, kita menyaksikan empat negeri di Malaysia iaitu Melaka, Perak, Perlis dan Kelantan menganjurkan tahun melawat negeri masing-masing.
Kejayaan penganjuran tahun melawat negeri ini sebenarnya menjadi kayu pengukur kepada kesediaan kita untuk menerima ketibaan pelancong yang lebih besar pada tahun 2026.
Oleh itu, misi kami kini terarah untuk merencanakan agenda bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026. Lebih-lebih lagi kerajaan telah meletakkan sasaran untuk menarik kunjungan 35.6 juta pelancong antarabangsa yang dijangka membawa pulangan mencecah RM147.1 bilion.
Selain itu, kami akan meningkatkan lebih banyak libat urus bersama pemegang taruh dalam sektor pelancongan termasuk para penggiat industri di negeri-negeri.
Ia bagi memastikan industri pelancongan negara terus berdaya saing. Seperti yang kita tahu, industri pelancongan memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Pada tahun 2025, Malaysia bakal menjadi Pengerusi ASEAN dan program pertama yang akan dianjurkan iaitu ASEAN Tourism Forum (ATF). Penganjuran World Tourism
Conference (WTC) juga akan diadakan di Malaysia pada tahun sama dan Melaka bakal menjadi tuan rumah kepada Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025). Oleh yang demikian, penting untuk kami memastikan supaya Tourism Malaysia terus menjadi pemacu utama kepada usaha-usaha untuk mempromosikan negara.
Secara keseluruhan, apakah pendapat tuan mengenai industri pelancongan di Malaysia. Apa kelebihan yang ada pada negara untuk menarik pelancong?
Secara umumnya, industri pelancongan negara semakin pulih dengan pertambahan ketara bilangan pelancong asing ke Malaysia.
Syarikat- syarikat penerbangan telah meningkatkan kemudahsampaian ke Malaysia. Malah, Pertubuhan Pelancongan Dunia (UN Tourism) menjangkakan pelancongan antarabangsa akan kembali ke paras prapandemik pada tahun ini.
Baru-baru ini, Malaysia juga telah muncul antara lima destinasi teratas bagi pilihan rakyat China untuk berkunjung sewaktu musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Seperti mana dilakukan oleh kebanyakan negara ASEAN, pengecualian visa kepada pelancong China dikatakan menjadi penyumbang utama kepada kejayaan ini.
Kelebihan yang ada pada Malaysia terletak pada kepelbagaian etnik, kaum dan budaya, sekali gus membentuk naratif masyarakat majmuk selari dengan slogan, ‘Malaysia Truly Asia’.
Kekuatan ini juga telah melahirkan Malaysia sebagai syurga makanan dengan aneka hidangan, rasa dan warna yang mendapat tempat di hati para pelancong selain keunikan seni serta warisannya.
Malaysia juga telah diiktiraf sebagai salah sebuah daripada 12 negara di dunia yang memiliki mega biodiversiti dengan kepelbagaian spesies flora dan fauna. Selain memiliki pulau dan pantai yang indah serta formasi batu kapur mengagumkan, warisan hutan hujan tropika berusia jutaan tahun juga sedia diterokai oleh para pelancong.
Kekayaan sumber ini turut menjadi tunjang kekuatan untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan dunia.
Bukan itu sahaja, Malaysia secara konsisten telah diiktiraf sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik oleh pihak CrescentRating dan Mastercard.
Ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam segmen pelancongan Islam serta pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim.
Boleh tuan ulas peranan yang dimainkan oleh Tourism Malaysia dalam menarik kehadiran pelancong asing ke negara ini?
Sebagai agensi pemasaran di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), peranan Tourism Malaysia adalah mempromosikan negara sebagai sebuah destinasi pelancongan terunggul di rantau ini.
Ini sekali gus menjadikan industri pelancongan sebagai penyumbang utama kepada pembangunan sosioekonomi negara.
Tourism Malaysia memfokuskan kepada peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa serta purata tempoh lawatan pelancong bagi menambah hasil pendapatan pelancongan.
Selain itu, kita berperanan merangsang pertumbuhan pelancongan domestik termasuk industri yang berkaitan dengannya.
Kesan limpahan yang diterima daripada industri pelancongan secara tidak langsung mampu memperkasa ekonomi komuniti setempat selain membantu menawarkan peluang pekerjaan.
Di peringkat global, Tourism Malaysia memiliki 30 pejabat di luar negeri dan enam wakil pemasaran yang berperanan menjalinkan kerjasama dengan rakan industri di serata dunia.
Ia dilakukan melalui aktiviti perkongsian pintar, penyertaan di pameran-pameran perdagangan dan pelancongan antarabangsa, seminar, webinar, sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) serta lawatan suai kenal bersama agensi pelancongan dan media.
Selain itu, kita meningkatkan aktiviti promosi bersama syarikat penerbangan dan agensi pelancongan antarabangsa bagi menambah kemudahsampaian ke Malaysia.
Hasil usaha dilakukan Tourism Malaysia, negara berjaya mencatat kedatangan pelancong seramai 20.1 juta pada tahun lalu. Justeru, apakah promosi-promosi lain yang boleh dilakukan bagi meningkatkan jumlah pelawat pada tahun ini?
Bagi menyokong pihak industri untuk meningkatkan ketibaan pelancong ke negara ini, Tourism Malaysia menawarkan Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) kepada syarikat penerbangan serta agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa.
Ia bagi menggalakkan lebih banyak penerbangan sewa khas, laluan baharu atau penambahan kekerapan penerbangan ke Malaysia.Tumpuan kepada pelancongan minat khas (niche tourism) juga difokuskan mengikut kehendak pasaran seperti mempromosikan segmen perfileman, perkahwinan dan berbulan madu, inap desa, selam skuba, birding, golfing, shopping dan cruise.
Selain itu, kita akan terus meningkatkan kerjasama dengan agensi lain seperti Malaysia Healthcare Travel Council, Education Malaysia Global Services dan Islamic Tourism Centre bagi mempromosikan segmen pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan serta pelancongan mesra Muslim.
Tourism Malaysia akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan pakej-pakej pelancongan yang mampu memberikan nilai tambah kepada pengalaman pelancongan.
Ia bagi menarik lebih banyak pelancong ke Malaysia seperti pelancongan berasaskan komuniti (CBT). Budaya, makanan, seni dan warisan Malaysia juga akan dimanfaatkan bagi menarik lebih banyak pelancong berkualiti tinggi untuk tinggal lebih lama dan berbelanja di negara ini.
Seiring dengan ledakan kemajuan teknologi, Tourism Malaysia juga mengaplikasikan penggunaan digital bagi pemasaran pelancongan.
Salah satu faktor jumlah pelancong meningkat adalah pengecualian visa kepada pelawat dari China. Pada pendapat tuan, perlukah perkara ini diperluaskan kepada negara-negara lain?
Pada dasarnya, kita menyokong sebarang usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak ketibaan pelancong asing ke Malaysia termasuk pengecualian visa kepada pelancong daripada pelbagai negara.
Sememangnya pengecualian visa memberikan kemudahan kepada para pelancong dan langkah tersebut merupakan salah satu strategi yang dilakukan oleh negara jiran menerusi perjanjian dua hala.
Selain usaha menarik pelancong asing, Tourism Malaysia juga bertanggungjawab menggalakkan masyarakat tempatan melancong. Bagaimanapun ketika ini, rakyat tempatan dilihat lebih gemar bercuti ke selatan Thailand. Boleh tuan ulas mengenai isu ini?
Saya melihat budaya melancong dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat. Barangkali rakyat tempatan sering melancong di dalam negara sehingga membawa kepada peningkatan pelancong domestik.
Justeru negara-negara yang berjiran kini menjadi sasaran utama mereka, tertakluk kepada kemampuan.
Sememangnya, mana-mana negara yang berjiran akan saling menerima manfaat daripada sektor pelancongan apabila wujud kemudahsampaian terutamanya menerusi jalan darat di pintu-pintu masuk sempadan.
Dalam konteks ini, kita panggil sebagai ‘border tourism’. Namun, pada asasnya, kita tidak boleh menghalang rakyat negara ini untuk bercuti ke mana sahaja destinasi yang mereka ingin lawati.
Kita lihat sahaja Malaysia. Pada tahun 2023, pengembara dari Singapura mencatatkan bilangan pelancong antarabangsa tertinggi iaitu sebanyak 8,308,230 dan menjana pendapatan pelancongan tertinggi sejumlah RM19.5 bilion.
Apakah pula usaha-usaha yang dilakukan oleh Tourism Malaysia untuk memastikan rakyat tempatan bercuti dalam negara?
Bagi menarik minat rakyat untuk melancong di negara sendiri, kami giat meningkatkan kempen Cuti-Cuti Malaysia dengan mempromosikan destinasi-destinasi hidden gems atau jarang diterokai menerusi kerjasama dengan pihak media.
Di samping itu, hantaran-hantaran promosi pelancongan di pelbagai platform media sosial turut digiatkan.
Tourism Malaysia juga bekerjasama dengan para penggiat industri di negeri-negeri bagi membangunkan pakej-pakej yang berpotensi untuk diketengahkan serta dipasarkan kepada pelancong.
Sempena bulan Ramadan tahun ini, kita juga telah melancarkan pakej MY Ramadan Experience yang turut boleh disertai oleh pelancong bukan Muslim.
Mereka boleh merasai sendiri pengalaman di bazar Ramadan, menghasilkan bubur lambuk, ‘berbuka puasa’, menginap di hotel serta membeli-belah menjelang hari raya, khususnya di kawasan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor.
Tahun Melawat Malaysia dijangka pada 2026, Justeru, berapakah sasaran jumlah pelawat dan apakah promosi-promosi yang bakal dilakukan bagi mempromosi tahun Melawat Malaysia di luar negara?
Sememangnya kita mula telah menguar-uarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam setiap penyertaan Tourism Malaysia di pameran-pameran perdagangan dan pelancongan di peringkat antarabangsa.
Sasaran kerajaan ialah untuk menarik ketibaan sebanyak 35.6 juta pelancong antarabangsa yang dijangka membawa pulangan pelancongan mencecah RM147.1 bilion.
Tourism Malaysia juga berusaha merealisasikan Tahun Melawat Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT 2023-2025). Boleh tuan ulas mengenai usaha ini memandangkan ia melibatkan dua buah lagi negara pesaing Malaysia dalam pelancongan?
Perdana Menteri Malaysia, Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Thailand melalui kerjasama wilayah serantau telah melancarkan Kempen Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 sewaktu Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-15 di Labuan Bajo, Indonesia pada 11 Mei tahun lalu.
Kempen ini bertujuan merancakkan kembali industri pelancongan serta mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.
Kempen ini juga dijalankan seiring dengan sambutan ulang tahun ke-30 IMT-GT serta dilaksanakan oleh Tourism Malaysia melalui peruntukan khas oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.















