fbpx

Haji Furada: Syarikat pelancongan diperintah bayar RM634,400 kepada 25 jemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian jemaah yang tekandas di Lapangan Terbang di Jeddah lima tahun lalu.

SHAH ALAM –  Syarikat pelancongan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn. Bhd. (HSTT) diarah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membayar baki bayaran pakej haji furada sebanyak RM634,400 kepada 25 bekas pelanggannya.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas membenarkan saman plaintif yang difailkan oleh 25 jemaah haji terhadap syarikat berkenaan yang dinamakan sebagai defendan.

Dalam prosiding secara dalam talian itu, Hakim tersebut menolak tuntutan balas yang difailkan defendan yang menuntut ganti rugi sebanyak RM479,350. HSTT turut diperintahkan untuk membayar kos RM75,000 kepada kesemua plaintif.

Bayaran tertinggi adalah RM42,000 manakala jumlah terendah RM15,000.

Berdasarkan kes saman itu, plaintif terdiri daripada 15 individu yang telah menerima e-visa tetapi terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah atas dakwaan menggunakan visa palsu manakala bakinya merupakan jemaah yang telah melunaskan semua bayaran pakej haji namun masih belum mendapat e-visa.

Dalam saman yang difailkan pada Ogos 2020, kesemua plaintif menyatakan bahawa pada sekitar 2019, mereka telah dipelawa untuk menyertai pakej haji furada bagi tahun 2019 dan diberikan jaminan bahawa wang akan dipulangkan sekiranya pakej itu gagal.

Kesemua plaintif kemudian membayar pakej masing-masing yang mana keseluruhannya bayaran pakej ialah RM795,000.

Kemudian pada 31 Julai 2019, defendan telah memaklumkan bahawa e-visa telah dikeluarkan bagi 26 orang jemaah termasuk 15 plaintif dalam kes ini. Bagi jemaah yang belum menerima e-visa didakwa telah dipelawa untuk memperoleh visa melalui kuota Visa Raja Salman dengan membuat bayaran sebanyak RM7,000.00 setiap seorang.

Jemaah yang telah menerima e-visa telah memulakan perjalanan ke Jeddah pada 5 Ogos 2019 tanpa diiringi mutawif.

Bagaimanapun setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, semua 26 orang jemaah termasuk 15 orang Plaintif telah gagal melepasi kaunter imigresen di lapangan terbang terbabit selepas imbasan dibuat terhadap e-visa berkenaan memapar identiti individu berbeza.

Selepas 24 jam ditahan dan terpaksa tidur di atas lantai serta kerusi, kesemua jemaah telah diarahkan pulang ke Malaysia pada 7 Ogos 2019. Kesemua 26 orang jemaah juga wajib melaksanakan Tahallul Ihsar (denda) kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji yang telah diniatkan.

Sementara itu, peguam Khairun Niza Husnin yang mewakili plaintif-plaintif ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan turut memaklumkan prosiding hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Tambahnya, saman yang difailkan pada mulanya menyenaraikan enam orang defendan termasuk Pengarah HSTT, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan namun pada hari ini, mahkamah membenarkan tuntutan tersebut bagi HSTT sahaja.

“Plaintif-plaintif merasa lega dan bersyukur dengan keputusan ini dan berharap pihak pengurusan Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn. Bhd. dapat menguruskan bayaran penghakiman yang diberikan pada hari ini.

“Ini kerana ada di kalangan plaintif-plaintif merupakan golongan tua, tidak lagi bekerja dan berpendapatan rendah serta mereka hanya menuntut hak mereka berikutan kemungkiran kontrak di pihak syarikat,” kata peguam itu.

Sebelum ini, pada Ogos 2019, media melaporkan seramai 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.

Menerusi laporan itu, mereka datang dalam satu kumpulan menaiki penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehubungan itu, pengurusan Hajar Sazrul Travel & Tours dilaporkan membuat laporan polis susulan 26 jemaah Malaysia di bawah kendalian syarikat itu terkandas di Jeddah, Arab Saudi berhubung visa Furada dikatakan palsu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI