SAAT belon udara panas perlahan-lahan mengembang di tengah-tengah kehijauan ladang, perasaan teruja terbit dalam diri penulis.
Manakan tidak, itu merupakan pengalaman pertama penulis menaiki belon udara panas di Farm Fresh@Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Dengan bantuan kru-kru terlibat, dua peserta memanjat masuk ke dalam bakul belon udara panas berkenaan.
Bahang api daripada penunu secara tidak langsung membantu menghangatkan suasana sejuk pagi.
Sedikit demi sedikit, jarak antara tanah dengan bakul semakin jauh dan semua benda di daratan kelihatan semakin kecil.
Horizon matahari terbit yang sebelum ini terlindung di sebalik pokok-pokok juga mula kelihatan.
Tidak dapat dinafikan, rasa gayat timbul dalam diri penulis kerana sedikit pergerakan mampu membuatkan bakul bergoyang.
Setiba di paras 18 meter, belon udara panas dipegunkan bagi membolehkan kami menikmati suasana matahari terbit.
Panorama landskap ladang luas dapat dilihat dari sudut pandang mata burung (bird eyes view) tanpa sebarang halangan.
Keseluruhan pengalaman selama lima hingga 10 minit itu cukup indah seolah-olah berada di Cappadocia, Turkiye.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah AKA Balloon Sdn. Bhd., Izzati Khairudin berkata, belon udara panas tersebut mampu menampung sehingga 200 kilogram (kg) bebanan pada satu-satu masa.
“Seramai tiga hingga empat penumpang termasuk seorang kru akan diapungkan ke udara dalam satu-satu masa.
“Kami amat mengutamakan aspek keselamatan termasuk pemeriksaan rapi peralatan sebelum penerbangan dan pemantauan cuaca,” katanya.
Lebih menarik, pakej belon udara panas itu disertai sekali dengan bufet sarapan pagi dan jelajah di sekeliling ladang.
Pakej dengan peserta minimum seramai 30 orang itu menyediakan sajian lengkap berasaskan ladang.
Ini termasuk susu segar yang baru diperah dan hanya boleh didapati di ladang tersebut.
Selesai menjamu selera, pengunjung dibawa menjelajah ladang dengan menaiki trem.
Sepanjang laluan, pengunjung berpeluang melihat kebun pisang berangan dan limau kasturi serta kolam ikan koi, tilapia dan keli.
Ketua ladang Farm Fresh, Faris Zainal memaklumkan, kemuncak jelajah adalah lawatan ke kandang yang menempatkan sejumlah 500 ekor lembu.
“Di sini, pengunjung dapat melihat proses penghasilan produk tenusu berkualiti daripada peringkat penjagaan lembu sehingga proses perahan.
“Lembu-lembu di sini dipasangkan muzik klasik sebagai terapi kerana cara ini terbukti mampu meningkatkan pengeluaran susu,” katanya.
Selain kandang lembu, pengunjung juga dibawa melawat pelbagai haiwan ternakan lain serta berpeluang memborong produk Farm Fresh.
Pakej baharu, ‘Ballon & Breakfast’ itu bermula dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari.














