fbpx

Dua beranak cedera ditetak dalam tokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Dua beranak cedera selepas dipercayai ditetak oleh seorang lelaki dalam kejadian perselisihan faham di dalam sebuah tokong di Taman Mesra, Butterworth di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa yang merupakan ayah dan abang kandung suspek terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan pada kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berpunca apabila suspek berusia 29 tahun berang kerana ayah dan abangnya memberitahu mahu membawanya ke Kuala Lumpur untuk menziarahi nenek yang sakit.

“Berlaku perselisihan faham di dalam tokong itu sehingga suspek bertindak menetak abangnya yang berusia 32 tahun dengan sebilah parang dan menyebabkan luka 5 sentimeter (sm) pada kepala.

“Ayah suspek berusia 67 tahun cuba membantu, namun dia turut dipukul pada kepala sehingga luka sepanjang 11 sm,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya di sini, namun mereka dibenarkan keluar hospital kerana kecederaan tidak serius.

Beliau menambah, pihaknya berjaya menahan suspek kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan oleh suspek yang memiliki 12 rekod jenayah lampau tersebut.

“Temubual turut mendapati suspek yang baru keluar penjara kerana kesalahan narkotik pada Januari lalu mempunyai masalah mental dan pernah cuba membakar rumah mereka sebelum ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI