fbpx
RAJA Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida menyambut kumpulan promonarki di luar Istana Besar di Bangkok kelmarin.- AFP

Raja Thailand kasih semua rakyat, sedia tolak ansur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn menggelar negara berkenaan sebagai ‘tanah air tolak ansur’’ dalam satu kenyataan yang jarang-jarang berlaku semalam.

Baginda yang suatu ketika dahulu sukar didekati, mengisytiharkan perasaan kasih sayang kepada seluruh rakyat jelata beberapa bulan selepas bantahan berlangsung bagi mendesak pembaharuan institusi monarki.

Monarki berumur 68 tahun yang mempunyai kuasa paling tinggi di Thailand itu amat jarang memberi kenyataan kepada media antara lain disebabkan protokol berkaitan kerabat diraja.

Selain itu, struktur masyarakat Thailand juga melarang rakyat jelata daripada bercakap atau mempersoalkan monarki.

Bagaimanapun, institusi yang sukar disentuh itu berdepan tekanan daripada gerakan prodemokrasi dengan beberapa pemimpin pelajar mendesak sistem monarki dirombak termasuk membatalkan undang-undang melindungi kerabat diraja dikenali sebagai lese majeste.

Kelmarin, beribu-ribu penyokong institusi diraja yang berpakaian kuning berkumpul dekat Istana Besar di Bangkok sambil memegang potret Raja Vajiralongkorn dan isteri, Permaisuri Suthida.

Semasa Vajiralongkorn berjalan untuk beramah mesra dengan rakyat jelata, seorang pemberita Channel 4 dari Britain menyoal baginda mengenai penunjuk perasaan yang menuntut pembaharuan.

“Kami sayangkan mereka semua sama seperti yang lain,” kata baginda kepada pemberita tersebut berdasarkan klip video yang dikongsi di akaun Twitter rasmi Channel 4.

Ketika Vajiralongkorn ditanya sama ada terdapat ruang untuk berkompromi, baginda berkata: “Thailand adalah tanah air tolak ansur.”

Vajiralongkorn kemudiannya berlalu dan kumpulan promonarki melaungkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka: “Kami akan hidup dengan ketaatan, mati secara taat, Semoga Raja dilanjutkan usia”.

Raja Thailand yang kaya-raya memiliki sokongan pihak tentera dan kumpulan bilionair.

Vajiralongkorn menghabiskan masa lama di Jerman tetapi kembali ke Thailand sejak beberapa minggu lalu. – AFP

POPULAR