fbpx

Bajet 2021: PH kemuka 6 cadangan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini harus menumpukan keperluan ekonomi rakyat Malaysia, dengan mewujudkan dan memelihara pekerjaan rakyat serta memastikan perniagaan dibantu.

Semasa pertemuan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pakatan Harapan (PH) turut mendesak kerajaan untuk menerapkan dasar fiskal yang mengembang untuk meringankan cabaran aliran tunai rakyat dan syarikat.

Dalam satu kenyataan bersama, ketua-ketua parti komponen PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guang Eng berkata, PH mengetengahkan enam cadangan utama, antaranya meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan untuk Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit.

Ia termasuk memberikan bayaran yang adil kepada barisan hadapan dan menyerap pegawai kontrak sedia ada kepada jawatan tetap.

“Memperkasa perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur dengan meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri sehingga akhir krisis Covid-19,” menurut kenyataan tersebut.

PH turut mendesak agar moratorium dilanjutkan sehingga 31 Mac 2021.

“Subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh dua tahun kepada majikan dan pekerja berharga RM13 bilion,” menurut cadangan ketiga.

Di bawah cadangan ketiga, kerajaan diminta mewujudkan pekerjaan hijau dan infrastruktur hijau selain mengambil pendekatan ganjaran dan hukuman untuk sektor yang mempunyai pertumbuhan yang baik, seperti sektor sarung tangan dan alat perubatan untuk meningkatkan bilangan pekerja tempatan.

Selain itu, PH mahu kerajaan meningkatkan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan yang mana ia termasuk meningkatkan bilangan guru sokongan dan bilik darjah untuk memenuhi keperluan penjarakan sosial di sekolah.

Cadangan terakhir ialah perbelanjaan pembangunan untuk dua projek utama, iaitu, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan menaik taraf infrastruktur air untuk Selangor, Kelantan dan Pahang.

“Belanjawan Perpaduan ini adalah penting untuk menjunjung Titah di Raja menolak pengisytiharan darurat dan mengelak pilihan raya dalam tempoh terdekat yang hanya akan mengeruhkan lagi gelombang ketiga Covid-19.

“PH komited untuk bekerja dengan semua pihak bagi memerangi Covid-19, dengan hasrat menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara. Pun begitu, proses rundingan ini tidak bermakna sokongan atau penerimaan PH dalam soal keabsahan kerajaan ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI