fbpx

Bomoh temberang kebas barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR – Gara-gara percayakan cakap bomoh, seorang kerani wanita kerugian RM45,000 apabila sebahagian barang kemasnya dilarikan lelaki yang dikenalinya ketika suspek melakukan ritual kononnya untuk menghalau makhluk halus di rumahnya baru-baru ini.

Kejadian di Padang Sanai, Padang Terap dekat sini itu, berlaku pada Januari lalu apabila suspek berusia dalam lingkungan 50-an mendakwa terdapat makhluk halus telah terjatuh di atas bumbung rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Supe­rintendan Elias Omar berkata, untuk menakutkan mangsa, suspek mengatakan semua barang kemas di dalam rumah tersebut mendatangkan mudarat lalu meminta mangsa menyerahkan kepadanya.

Katanya, barang itu kemudian telah dibalut dengan kain putih dan disimpan di dalam almari di bilik mangsa yang sudah berkahwin itu.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk tidak me­nyentuh bungkusan kain tersebut melainkan hanya dirinya sahaja.

“Selepas tujuh hari, suspek datang semula ke rumah ­mangsa dan berpura-pura membuat ritual ketika memeriksa balutan kain itu tanpa dilihat wanita tersebut sebelum menyerahkan tiga bentuk cincin yang boleh dipakai semula,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Tambahnya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian telah memakai cincin itu dan penipuan itu hanya terbongkar selepas mangsa mengetahui­nya daripada orang kampung pada 8 September lalu.

Menurut Elias, orang kampung mendakwa lelaki dikenalinya itu ialah bomoh palsu dan pencuri barang kemas.

“Mangsa kemudian telah membuka balutan kain putih itu dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati barang kemasnya te­lah digantikan dengan rantai ta­ngan disyaki palsu,” katanya.

Ujar Elias, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Padang Sanai pada 25 Oktober lalu dan polis kini sedang giat memburu suspek bagi mem­bantu siasatan mengikut Seksyen­ 420 Kanun Keseksaan.

“Semakan mendapati terdapat empat kes lain melibatkan wanita yang disyaki dilakukan oleh suspek berdasarkan modus operandi yang sama. Kesemua kes itu dilaporkan di balai polis berkenaan,” katanya.

Menurut Elias, polis menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya de­ngan penipuan bomoh tersebut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI