fbpx

Cadangan pembangunan KXP akan diperhalusi sebelum dilaksana – Ka Siong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan menjelaskan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Oktober lalu hanya memberi kelulusan prinsip terhadap cadangan Projek Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kelulusan prinsip itu adalah tertakluk kepada permohonan bagi mendapatkan pertimbangan daripada kementeriannya dan pelbagai kementerian serta agensi lain.

Beliau berkata, antara kementerian dan agensi berkenaan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan beberapa agensi kerajaan lain.

“Cadangan pembinaan KXP juga adakah tertakluk kepada Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang akan dimulakan pada awal tahun 2021 bagi semua 42 lapangan terbang sedia ada termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu.

“Maka, penggerak projek KXP kelak akan diminta untuk memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP berhubung unjuran-unjuran yang realistik dan tepat.

“Antara unjuran berkenaan termasuk permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan KXP, lebih-lebih lagi dalam era pasca Covid-19,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, asas cadangan pembinaan KXP yang digunakan oleh penggerak projek adalah bagi menyokong pengendalian penumpang dan kargo yang disediakan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Ka Siong berkata, pembinaan KXP adalah wajar dipertimbangkan setelah kapasiti pengendalian LTAPP mencecah kapasiti maksima.

Justeru, katanya, unjuran permintaan penumpang dan kargo mestilah bersandarkan kepada asas dan data yang kukuh serta tepat mengambilkira pembangunan kapasiti maksima LTAPP demi memastikan kebolehsanaan projek pembinaan KXP.

“Kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan KXP hanya akan dipertimbangkan apabila kajian NASP telah disiapkan serta pematuhan kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Antara syarat pematuhan ditetapkan agensi kerajaan termasuk Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan sebagainya,” katanya.

Katanya, kementerian mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan negeri atau syarikat swasta untuk membina lapangan terbang.

Namun, kementerian perlu memastikan setiap cadangan pembinaan lapangan terbang benar-benar bersesuaian, lestari dan memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI