fbpx

Bekalan air nyaris terputus lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENCEMARAN sisa minyak hitam dikesan di alur sungai di Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan dekat Kajang.

KAJANG – Jutaan penduduk Lembah Klang sekali lagi nyaristerputus bekalan air apabila berlaku pencemaran sisa minyak hitam di alur sungai di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan dekat sini kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menghalang sisa minyak hitam itu daripada mengalir terus ke Sungai Balak dan seterusnya ke Sungai Langat yang menjadi sumber air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Seme­nyih 2, LRA Labohan Dagang dan LRA Bukit Tampoi.

Loji itu membekalkan air bersih kepada pengguna di sekitar Lembah Klang.

LUAS dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya me­nerima aduan pencemaran sisa minyak hitam itu daripada orang awam kira-kira pukul 6 petang.

“Hasil siasatan pihak kami mendapati, bahan pencemaran tersebut adalah sisa minyak enjin terpakai yang dibuang ke dalam alur sungai itu.

“Aliran air sungai ini akan memasuki Sungai Balak dan seterusnya Sungai Langat. LUAS telah membuat pensampelan dan sedang mengambil tindakan kawalan di lokasi kejadian,” katanya dalam akaun Facebook semalam.

Kenyataan itu memberitahu, LUAS juga telah meletakkan oil pad dan oil boom di lokasi tersebut bagi menghalang sisa minyak hitam memasuki Sungai Balak.

Pihak berkuasa memeriksa pencemaran sisa minyak hitam yang dikesan di alur sungai di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong, Seri Kembangan dekat Kajang kelmarin.

 

Katanya, siasatan lanjut mendapati, lokasi pembuangan sisa minyak hitam tersebut adalah kawasan air bertakung.

“Pembuangan haram ini disyaki dilakukan oleh pihak ketiga. Pemantauan berterusan oleh pihak LUAS bersama agensi berkaitan sedang dijalankan termasuk mengesan pencemaran jika berlaku di Sungai Balak dan Sungai Langat,” ujarnya

Di Shah Alam, polis percaya wujud unsur-unsur sabotaj berhubung kejadian pencemaran sisa minyak hitam di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) berhubung insiden itu.

Menurutnya, pemeriksaan JAS mendapati, sisa minyak hitam dikesan berada di permukaan alur air yang dipercayai dari kawasan perumahan berdekatan ke sungai tersebut.

“Berdasarkan laporan yang diterima, perbuatan tersebut mempunyai unsur-unsur sabotaj.

“Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor telah ke lokasi kejadian bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Lembaga Urus Air Selangor dan Indah Water Konsortium.

“Beberapa sampel minyak bercampur air telah diambil untuk diuji kandungannya bagi tujuan siasatan dan pendakwaan,” katanya.

Kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tali air atau sungai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI