fbpx

Elaun guru takmir di Kelantan mencukupi hingga Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan bahawa peruntukan elaun guru takmir bagi negeri Kelantan pada tahun ini adalah mencukupi sehingga Disember.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Abdul Aziz Jusoh dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tiada halangan kepada pihak negeri untuk menguruskan pembayaran elaun tersebut tertakluk kepada prosedur kewangan semasa.

Beliau berkata, berhubung surat dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 8 Oktober lalu, pihaknya berpandangan bahawa arahan tersebut adalah berdasarkan prosedur kewangan negeri berkenaan.

“Justeru Jakim sekali lagi pada Isnin lalu telah mengeluarkan surat pekeliling kepada negeri-negeri mengenai pemakluman pembayaran elaun guru takmir.

“Kami ingin menegaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa menjaga kebajikan murabbi ummah yang banyak membantu pembangunan insan di negara ini seperti guru takmir dan guru KAFA.

“Ini terbukti melalui arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Mac lalu supaya elaun guru takmir dan guru KAFA dibayar penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya di sini hari ini.

Katanya, bayaran penuh kepada guru takmir dan guru KAFA itu dibuat sama ada kelas pengajian takmir atau KAFA dapat dilaksanakan atau sebaliknya.

Abdul Aziz berkata, beliau berharap penjelasan itu dapat menutup ruang-ruang fitnah yang sengaja dicetus oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung surat dikeluarkan MAIK mengenai pembelian elaun guru takmir di Kelantan kononnya bayaran elaun hanya dibuat setakat November sahaja.

Menurut surat itu lagi, guru-guru takmir yang ingin meneruskan kelas pengajian takmir bagi bulan Disember boleh terus berbuat demikian namun, elaun mengajar tidak boleh dituntut dengan MAIK.

Guru takmir adalah guru-guru agama yang dilantik oleh pihak Jakim dan MAIK untuk menjalankan kelas-kelas pengajian di masjid dan surau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI