fbpx

Pengerusi koperasi dijel 8 tahun salah guna dana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Boon Siong dipenjara lapan tahun dan dua sebatan selepas mengaku salah menggunakan dana koperasi. Foto oleh BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Seorang pengerusi sebuah koperasi peladang dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun beserta dua sebatan selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM300,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Alan Lim Boon Siong, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Aizatul Akmal Maharani.

Aizatul Akmal menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula hari ini dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala empat tahun penjara serta satu sebatan bagi pertuduhan kedua yang dijalankan secara asingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh selaku Pengerusi Koperasi Peladang Jaya Pekan Nanas, Pontian telah menyalahgunakan kedudukannya dengan memindahkan dana koperasi ke dalam akaun peribadi miliknya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Pekan Nanas dengan memindahkan dana berjumlah RM100,000 ke dalam akaun peribadi miliknya pada 1 September lalu.

Sementara itu, dalam pertuduhan kedua, tertuduh yang menjawat jawatan itu sejak 2015 didakwa telah memindahkan dana berjumlah RM200,000 ke dalam akaun peribadi miliknya di lokasi sama pada 7 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI