fbpx
Gambar hiasan

Bekas pengarah syarikat hartanah tipu pembelian lot banglo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG – Seorang bekas pengarah sebuah syarikat hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita yang juga bekas wartawan sebuah surat khabar arus perdana berhubung pembelian lot banglo berjumlah RM32,000 lapan tahun lalu.

Tertuduh Mohd. Asri Hasan ,55, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menipu Faiza Zainudin, 50, dengan memperdayakan mangsa bagi pembelian lot banglo yang tidak wujud sehingga dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang RM32,000 melalui akaun Maybank.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di JPJ-3A-2 (2nd Floor), Jalan Jelatek Satu, Jelatek Business Park di sini pukul 4 petang pada 5 Mac 2012.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh digunakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM8,000 dengan soerang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan sudah tidak bekerja dan  perbelanjaan ditanggung oleh anak-anaknya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Normaizan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 9 Disember ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.-K!ONLINE