fbpx
SIKAP suka membuat sepah adik ipar Ana yang tinggal bersama keluarga wanita itu memberi tekanan kepada Ana kerana terpaksa mengemasnya.–GAMBAR HIASAN

Wanita stres hidup bak orang gaji adik ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perkenalan Ana dengan lelaki yang dicintainya sejak zaman universiti itu membawa ke gerbang perkahwinan. Pada mulanya mahligai rumah tangga yang dibina bagai tidak ada cacat celanya.

Benar kata orang, tidak ada perkahwinan yang sempurna kerana setiap orang mempunyai cabaran berbeza.

Kesabaran dan sikap saling memahami sangat diperlukan dalam melayari bahtera rumah tangga.

Bagi Ana, biarpun perkahwinan mereka pada zahirnya nampak baik sahaja, namun dia sering memendam rasa dengan sikap suaminya yang seolah-olah melebihkan ibu dan adik-beradiknya.

“Saya faham, suami adalah anak sulung dan menjadi tanggungjawabnya sebagai abang untuk menjaga keluarga setelah ketiadaan bapanya yang meninggal dunia akibat kanser 15 tahun lalu.

“Namun, entah mengapa saya merasakan kasih sayangnya terhadap keluarga itu keterlaluan sehingga adiknya yang bongsu berusia 19 tahun kini dibawa tinggal bersama kami atas alasan ingin mencari pekerjaan padahal sudah hampir setahun tinggal di rumah kami tetapi masih menganggur,” ujarnya kepada Panorama.

Paling mengusutkan fikiran Ana adalah sikap pemalas adik iparnya itu yang suka membuat sepah di dalam rumah sehingga merasakan dirinya diperlakukan seperti orang gaji.

Ana yang berhenti kerja sejak melahirkan anaknya itu mengambil keputusan sebagai suri rumah sepenuh masa untuk memberi tumpuan kepada cahaya matanya.

Sebaliknya, dia seolah-olah menjaga dua ‘bayi’ di dalam rumah dan ini sungguh memenatkan.

“Saya ada memberitahu suami mengenai sikap adik ipar tetapi seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

“Suami meminta saya bersabar kerana adiknya itu ‘budak-budak’ lagi dan tidak matang,” tuturnya.

Kata-kata suaminya itu membuatkan Ana mati kutu dan terpaksa pasrah dengan ujian tersebut.
Suaminya juga sering memberi pinjam duit kepada adik-adiknya.

Terlalu menurut kata ibu mertua

Tidak cukup dengan itu, sikap suaminya yang terlalu mengikut kata ibu mertua juga membuatkan Ana makan hati.

 

ANA menganggap anak tunggalnya itu sebagai kekuatan untuk dia terus mempertahankan rumah tangga.
– GAMBAR HIASAN

 

“Saya faham suami seorang anak yang baik dan taat kepada ibunya tetapi jikalau sudah berlebihan akan membuatkan mana-mana isteri pun berasa kecil hati.

“Bayangkan dari sekecil-kecil benda seperti pemilihan cat rumah kami pun mengikut cita rasa ibu mertua,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari universti tempatan itu.

Tambahnya, perkara tersebut pernah diluahkan kepada suami sebaliknya dia dilabel sebagai mudah berasa hati dan terlalu berfikir negatif.

“Suami ada bercerita mengenai kisah kesusahan keluarganya dan setelah kematian bapanya, ibunyalah yang berhempas-pulas menyara keluarga.

“Oleh itu, dia berjanji akan menjaga ibu dan adik-adiknya,” ulasnya yang berasal dari utara tanah air itu.

Boleh dikatakan, apa sahaja yang dihajati oleh ibu mertuanya itu akan cuba ditunaikan sehingga sanggup berbelanja mewah.

Memikirkan perkara tersebut membuatkan Ana berasa tawar hati tetapi kasih sayang terhadap keluarga kecil yang dibina bersama itu membuatkan wanita tersebut cuba bersabar dan bertahan.

Dia cuba memujuk diri dan memandang perkara itu dari sudut positif agar tidak hanyut dengan peperangan emosi.

“Walaupun suami saya terlalu melebihkan keluarga tetapi dia sebenarnya seorang yang bertanggungjawab kepada kami dua beranak.

“Dia juga seorang yang penyayang dan sangat setia lantas membuatkan saya bertanya sendirian adakah diri ini tidak bersyukur?,” ceritanya sambal melepaskan nafas yang panjang.

Ana sering mendengar cerita kecurangan pasangan kawan-kawannya sehingga membuatkan dia bersyukur mempunyai suami sebaik itu.

Sehubungan itu, Ana cuba menjadi seorang isteri yang lebih memahami dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN