fbpx
NEETA

Karier suram, Neeta realistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP individu yang bergelar artis di dunia khususnya di tanah air pasti mempunyai episod duka dalam perjalanan seni mereka. Sama ada pahit atau manis, pasti akan dilalui. Begitulah rencam hidup mereka saban hari.

Pancaroba sebegitu yang dirasai penyanyi dan pengacara, Neeta sepanjang hampir sembilan tahun bergelumang dalam bidang nyanyian.

Adakala, momentum seninya memacu laju, namun ada ketika terhenti seakan-akan tidak dipedulikan.

Bekas naib juara Big Stage 2019 itu juga mengakui karier seninya tidaklah seindah yang dilihat khalayak umum.

Keringat dan titik peluh yang dicurahkan bagi memastikan namanya terus terpahat dalam industri seni tanah air bukanlah perkara yang mudah.

Menurut pemilik nama penuh Neeta Manishaa Manogaran, dia masih dalam usaha mengukuhkan namanya untuk bergelar seorang penyanyi yang versatil.

Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Tuhan Tolong Aku bersama kumpulannya, IamNeeta itu berkata, meskipun namanya tidak seutuh penyanyi-penyanyi baharu yang lain, dia yakin bakatnya tetap dihargai dan mempunyai kelompok peminat sendiri.

PENYANYI lagu Ruang Mimpi itu berharap standard dan kualiti muzik di Malaysia berubah ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan kehendak pasaran global.

Realistik

“Saya sedar nama saya masih kurang dikenali sehingga hari ini.

“Persaingan dalam kalangan artis baharu sangat sengit, malah semuanya ada kehebatan tersendiri.

“Bagi memastikan nama tidak terus tersisih, saya tidak ada berhenti berlari untuk terus mengukuhkan tapak dan mempersembahkan keunikan serta identiti sendiri kepada umum,” tuturnya.

Akui penyanyi berusia 26 tahun itu, ada ketika namanya seperti hilang daripada radar ingatan peminat.

“Tidak mengapa sekiranya nama saya belum menyerlah dan tidak dikenali ramai. Saya terima dan anggap itu rezeki saya buat masa ini.

“Kalau boleh, saya tidak mahu jadi penyanyi yang tenggelam timbul, namun saya percaya peluang ada di mana-mana dan setiap masa.

“Saya cuma perlu terus aktif dan rajin berusaha bagi mencapai lebih banyak peluang pada masa akan datang,” tuturnya.

Ujar Neeta, dia tidak menolak bahawa masih banyak kelemahan yang harus diperbaiki bagi meraih perhatian ramai.

Perkara tersebut penting bagi memastikan namanya terus terpahat dalam industri hiburan tanah air.

“Saya akui banyak lagi kelemahan diri yang perlu diperbaiki untuk terus kekal dalam industri. Biarpun nama kurang menyerlah, saya tidak pernah salahkan industri semasa hiburan tanah air.

“Saya sendiri sebagai anak seni perlu bersifat realistik ketika ini terutama ketika satu dunia sedang dilanda pandemik Covid-19.

“Jadi, tidak relevan jika anak seni menyalahkan mana-mana pihak jika nama mereka tenggelam timbul ketika ini,” katanya lagi.

NEETA juga mahu bakat dan lagu-lagunya diiktiraf menerusi mana-mana anugerah tertinggi dalam bidang muzik tanah air satu hari nanti.

Pengacaraan

Penyanyi yang baru meluncurkan single terbaharu Hanya Mimpi pada Julai lalu itu memberitahu, selain daripada bidang nyanyian, dia juga bergerak aktif dalam bidang pengacaraan.

Antara program yang dihoskan oleh anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu ialah Kapsul Big Stage 2020 terbitan Astro dan Mbuzz (TV3).

Katanya, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan beberapa stesen televisyen tanah air untuk mengacarakan beberapa rancangan hiburan.

“Banyak juga tawaran yang saya terima dan semakin aktif dalam bidang pengacaraan.

“Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi seorang pengacara, tetapi setiap hari saya akan cuba belajar untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Walau apa pun, nyanyian tetap menjadi fokus utama saya ketika ini.

“Sebab saya mula menceburi dalam industri ini pun sebagai seorang penyanyi,” katanya ringkas.

NEETA memasang cita-cita untuk merekod lagu dan album di sebuah studio rakaman terkenal iaitu Abbey Road Studios di England.

Allahyarham Sandra Dianne

Mengajak Neeta bercakap tentang sahabat baiknya Allahyarham Sandra Dianne yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, September lalu, dia tidak dapat menyembunyikan rasa sebak.

“Pemergian Sandra mengajar saya tentang jangan memandang ringan setiap perkara dan sentiasa menghargai seseorang ketika masih bersama.

“Saya percaya semua orang akan merasai perkara tersebut ketika ini. Pemergiannya terlalu pantas, saya memang terlalu rindu dia,” katanya.

Tambah Neeta, kehilangan penyanyi Hey Kau itu juga meninggalkan satu kesedaran buatnya bahawa kebaikan akan selalu diingati meskipun jasad sudah tiada lagi di dunia ini.

“Selepas Sandra tiada, banyak cerita indah mengenai dirinya yang saya dengar. Itu bermakna dia sangat baik dan disenangi semua orang.

“Jadi, jangan berhenti untuk membuat semua perkara baik ketika hidup sebab kita tak pernah tahu bila saat kematian kita tiba,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN