fbpx
Noor Hisham diangkat sebagai salah seorang 'adiwira' dalam siri animasi BoBoiBoy.

Noor Hisham ‘adiwira’ terbaharu animasi BoBoiBoy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Individu kesayangan rakyat Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah kini diangkat sebagai salah seorang ‘adiwira’ dalam siri animasi popular tempatan, BoBoiBoy.

Jangan silap faham, Ketua Pengarah Kesihatan itu sebenarnya tampil sebagai salah satu watak dalam klip video terbaharu animasi BoBoiBoy terbitan Animonsta Studios (MONSTA).

Klip video berdurasi satu minit itu adalah bagi mempromosikan langkah-langkah pencegahan perlu bagi memerangi Covid-19 kepada masyarakat.

Noor Hisham tampil dalam animasi itu bagi mempromosikan kempen CAPP, iaitu ‘Cegah, Amal, Patuh dan Pantau’ dengan menggunakan lakonan suara sebenar beliau.

Dalam klip video animasi itu, watak utama iaitu BoBoiBoy, Ying, Gopal, Yaya dan Fang sedang menggunakan kuasa masing-masing untuk menghapuskan virus Covid-19 namun, tidak berjaya.

Sejurus selepas itu, Noor Hisham kemudian tampil bergaya dengan menggunakan cecair pencuci tangan sebelum berjaya membunuh virus berkenaan.

Antara dialognya dalam klip animasi itu termasuk “Kamu tidak memerlukan kuasa untuk mengalahkan virus Covid-19, kamu hanya perlukan CAPP”.

“Dengan CAPP anda pun boleh menjadi adiwira,” kata Noor Hisham mengakhiri wataknya dalam klip animasi berkenaan.

Klip video itu dimuat naik menerusi laman YouTube rasmi MONSTA kira-kira 45 minit lalu dan setakat ini ditonton sebanyak 13,152 kali.

Klip berkenaan boleh diikuti menerusi pautan https://youtu.be/y8FvbxzQOx0. – K! ONLINE