fbpx

SMK Tunku Besar Tampin diarah tutup bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bermula esok hingga 28 Oktober ini berikutan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19.

Oleh NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bermula esok hingga 28 Oktober ini berikutan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, penutupan berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi serta pembersihan di sekolah berkenaan dijalankan.

Malah menurutnya, kesemua rakan sekelas pelajar berkenaan yang dianggarkan seramai 18 orang bakal menjalani ujian Swab Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Tampin esok.

“Kesemua yang positif Covid-19 telah di bawa ke Hospital Rembau dan juga Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala, PKD akan menjalankan ujian swab Covid-19 kepada kontak rapat lapan individu positif Covid-19 terdiri daripada pelajar sekolah serta jemaah masjid dan surau bermula esok,” katanya, di sini, tadi.

Difahamkan, pelajar berkenaan dan tiga lagi ahli keluarganya disahkan positif Covid-19 selepas mempunyai sejarah kontak rapat dengan saudara mereka di Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S. Veerapan berkata, daerah Tampin sebelum ini merupakan zon hijau, namun hari ini terdapat sebanyak lapan kes baharu Covid-19 dicatatkan.

Menurutnya yang juga Adun Repah, dari lapan kes berkenaan, empat di Dun Repah iaitu di Keru dan empat lagi di Dun Gemas iaitu di Bangkahulu.

“Saya mohon Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memberitahu dan memesan kepada masyarakat setempat agar berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap masa.

“Di samping itu, saya menyeru hanya kontak rapat dengan pesakit diminta hadir untuk membuat saringan Covid-19.

Menurutnya, PKD Tampin sedang  mengambil langkah-langkah untuk mengesan kontak rapat pesakit covid-19.

“Orang ramai tidak perlu  panik dan sentiasa berjaga-jaga selain mematuhi nasihat kerajaan dari masa ke masa.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI