fbpx

Pantun jadi alat escapisme perasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, PENOLONG PENGARANG BERITA

MINGGU lalu, empat baris ayat bernama puisi tradisional Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tiba-tiba menjadi tular. Masyarakat moden hari ini mendakwa perkara tersebut menghina wanita.

Netizen tidak mengendahkan frasa pembayang ‘apa guna berkain batik, kalau tidak memakai capal’, sebaliknya frasa maksud pada dua baris terakhir yang berbunyi ‘tidak guna beristeri cantik’, ‘kalau tak pandai menumbuk sambal’ menjadi fokus rata-rata pihak.

Tidak hanya golongan wanita yang terpukul dengan pantun tersebut, banyak juga komen terzahir daripada golongan lelaki.

Ada respons berbaur, lucu, sinikal, beremosi mahupun sekadar tumpang ketawa atau melemparkan paku buah keras, apa yang menarik tentunya ‘siri berbalas pantun’ sesama netizen.

Secara tidak langsung, fungsi DBP yang selama ini ibaratnya ‘pengawal bahasa’ tiba-tiba bertukar menjadi ‘penyedia kandungan hiburan’ dalam media sosial!

Pantun DBP hadir menembak dengan peluru indah, tajam dan halus, namun dekat dan tembus ke dada masyarakat.

Lelucon senyap tersebut mewujudkan satu platform baharu, tempat rakyat Malaysia meluahkan perasaan atau menyindir sistem sosial dan politik negara yang memualkan.

Ketika negara sedang nazak dengan rakyat yang sudah mual, netizen pula mencari bahagia dengan menyambar apa sahaja yang melintas depan mata, waima pantun yang selama ini sekadar menjadi kata pembuka atau penutup dalam sesetengah majlis.

Kelihatannya, netizen juga bahagia bermain jenaka. Ironinya, itu sekadar kebahagiaan kosong, sejenis escapisme perasaan, esok nanti, gerhana apa pula yang bakal dijenakakan.

Apa pun, terima kasih DBP kerana bijak berkongsi satu cabang sastera, sejenis puisi Melayu yang asli, sarat kiasan dan estetika, miliki nilai puitika tinggi, bahkan terbuka dengan pelbagai tafsiran, namun tetap relevan dengan suasana zaman.

Satu perkara yang manisnya tentang pantun, seni bahasa itu bukan hak individu, sebaliknya milik bersama.

Penulis percaya, jika puisi moden seperti sajak yang menjadi tular akibat polemik gender baru-baru ini, sudah pasti, si penulisnya telah meraih populariti besar-besaran, buku-bukunya yang selama ini berhabuk di rak sepi kembali digeledah, terjual dan popular.

Bagaimanapun, pantun tiada ukuran populariti, biarkan sahaja tafsiran berbeza, namun fungsi utamanya tetap sebagai alat komunikasi.

Untuk segmen ini, fungsi pantun ternyata masih tak hilang bisa. Semoga kesenian bahasa yang satu itu terus bergerak seiring zaman.

Facebook sudah, Twitter dan Instagram pun sudah, apa kata DPB merancakkan tari bahasa dengan TikTok pula! Semoga berjumpa lagi, sebagai penutup terimalah serangkap pantun daripada saya:

Merong Mahawangsa Si Raja Bersiong,
Hikayat keagungan kezaliman bangsa,
Dari Chan Sow Lin singgah ke Riong,
Kini di PJ, pasukan Kosmo! berkongsi berita
(haaa…sambung!)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI