fbpx

Dua beranak antara lapan ditahan kes pencemaran sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Dua beranak antara lapan individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pencemaran sungai yang mengakibatkan gangguan bekalan air sejak kelmarin.

Kesemua suspek termasuk pengarah sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan itu ditangkap di sekitar Rawang pukul 11.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong dipercayai bermula daripada premis syarikat tersebut.

“Berikutan itu, kita menahan dua lelaki iaitu seorang berusia 62 tahun dan anaknya berusia 31 tahun yang merupakan pengarah syarikat berkenaan.

“Selain itu, enam pekerja mereka termasuk empat lelaki warga asing (Nepal, Pakistan dan Myanmar) ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Fadzil menegaskan semua suspek akan direman di Mahkamah Selayang esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Tambah Fadzil, penahanan itu dilakukan susulan laporan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) yang mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 12.38 tengah malam kelmarin.

“Keadaan itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 ton.

“Pada pukul 2 pagi Isnin, beberapa LRA lain juga terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras sama,” katanya.

Kementerian Alam Sekitar dan Air sebelum ini memaklumkan telah mengenal pasti tiga kawasan kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Gong, hingga menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang.

Siasatan Air Selangor turut mengesan bau pelarut yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, awal bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI