fbpx

Bekas Pengurus Kanan FGV didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAZAM (belakang) didakwa sekali lagi atas pertuduhan menerima suapan RM10,000 di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO : ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus kanan FGV Holdings Berhad sekali lagi didakwa atas tuduhan menerima suapan RM10,000, tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Norazam Abdul Hameed, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan RM10,000 daripada Mohd. Rizal Md. Kassim sebagai upah mengesyorkan pelantikan Syarikat MRA Sustainable Solution kepada FGV Palm Industries Sdn. Bhd. sebagai auditor bagi pensijilan International Sustainable Carbon Certification (ISCC) untuk lapan buah kilang sawit.

Kesemua kilang itu adalah Keratong 9, Palong Timur, Maokil, Bukit Sagu, Lepar Hilir, Serting Hilir, Lepar Utara 06 dan Serting.

Perbuatan itu dilakukan di parkir Taman Prima Saujana di antara 10.45 hingga 11.05 pagi pada 2 Mac 2019.

Sehubungan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin berserta syarat tambahan lain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.

“Pihak pendakwaan juga memohon memindahkan kes untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur susulan tertuduh menghadapi pertuduhan sama yang telah didakwa semalam dan ditetapkan sebutan semula kes pada 20 November depan,” katanya,

Peguam Mohd. Hisyam Md. Nen mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 susulan tidak mempunyai pekerjaan sejak setahun setengah yang lalu dan menanggung anak-anak berusia 18 hingga 22 tahun yang masih belajar.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000, seorang penjamin, perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta membenarkan kes dipindahkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Difahamkan, Norazam akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan esok atas satu lagi pertuduhan rasuah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI