fbpx

Statistik rakyat Johor bekerja di Singapura dibincang dalam Mesyuarat EAC hari ini – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat EAC dan Sidang Khas MKN pada hari pertama beliau kembali bertugas di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi mengumpul data dan statistik rakyat Johor yang bekerja di Singapura antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan majlis itu pada hari pertama beliau kembali ke pejabat di Bangunan Perdana Putra di sini setelah menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari hingga Jumaat lepas.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Muhyiddin memaklumkan bahawa Mesyuarat EAC itu khusus bagi membincangkan kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negeri Johor.

Katanya, mesyuarat juga menyentuh mengenai keperluan membuka semula sempadan Johor dan Singapura antara lain bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Turut dibincangkan ialah permohonan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri Johor bagi menghidupkan semula industri pelancongan susulan penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan besar kepada sektor tersebut,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan secara sidang video itu disertai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor.

Muhyiddin berkata, beliau seterusnya mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara bagi membincangkan situasi terkini jangkitan Covid-19 dalam negara.

Menurutnya, pelbagai isu dibincangkan termasuk mengenai status jangkitan Covid-19 di Sabah dan Lembah Klang, pengukuhan tindakan mengawal penularan jangkitan dan keupayaan semasa kesihatan awam negara.

“Kesemua perkara akan diteliti semula dalam Mesyuarat Khas Teknikal Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan sebelum diputuskan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI