PETALING JAYA – Pemergian penyanyi legenda India, Asha Bhosle disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia muzik dan kebudayaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, mendiang merupakan figura seni yang berjaya menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan.
“Sebagai penyanyi, beliau telah menyatukan emosi, tradisi dan pensejarahan melalui ribuan karya merentas generasi,” katanya.
Anwar berkata, sebagai adinda kepada Lata Mangeshkar, mendiang turut mengangkat legasi besar keluarga dalam khazanah seni Asia Selatan.
“Namun beliau tetap membina jalur kepemimpinan seni dengan gaya tersendiri, berani bereksperimen dan tidak sekadar berada pada tahap biasa,” ujarnya.
Tambah beliau, Asha juga kekal relevan dalam arus perubahan zaman yang sentiasa berkembang dengan citra baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga Allahyarhamah serta seluruh pencinta seni yang turut merasai kehilangan tersebut.
“Semoga legasi beliau terus menyemarak dan menjadi ilham kepada generasi penerus dalam memperkaya dunia muzik dan kebudayaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














