fbpx

Konstabel polis didakwa rompak berkumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan di sebuah rumah flat minggu lalu.

Tertuduh Mohamad Hazani Omar ,30, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Hazani bersama-sama dengan seorang yang telah dituduh dan dua yang masih bebas didakwa telah melakukan rompak berkumpulan dengan mengambil dua utas gelang tangan emas dan wang tunai RM275 milik Syaifulyazan Hasan ,57, di sebuat unit Flat Sri Melaka, Cheras di sini pukul 1 pagi pada 13 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan dengan alasan merupakan penanggung utama keluarga.

“Saya menanggung dua adik yang masih belajar termasuk menanggung ibu dan bapa di kampung,” katanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Emelia membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang pemjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang berhubung dengan mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tarikh 13 November ini ditetapkan sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah sama rakan Mohamad Hazani, Muhammad Faizal Azmin Mohd. Azman ,21, yang merupakan seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Selain itu Muhammad Faizal turut didakwa atas dua pertuduhan lain iaitu menyamar pegawai kanan polis yang didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan memiliki barangan polis antaranya gari, sehelai baju operasi yang mempunyai pangkat Inspektor serta topi berlambang polis yang didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagaimanapun mahkamah tidak memberikan Muhammad Faizal ikat jamin berikutan tiada ahli keluarga tertuduh yang datang untuk menjamin . Mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI