fbpx

KKM aktifkan semula Akaun Amanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengaktifkan semula Akaun Amanah Pembelian Alat Kelengkapan, Keperluan Perubatan, Kemudahan dan Perkhidmatan di Fasiliti Kesihatan bagi membolehkan sumbangan diterima oleh pelbagai pihak.

Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, akaun itu diaktifkan semula susulan pertanyaan banyak pihak yang ingin memberi sumbangan bagi membantu kementerian menangani wabak Covid-19.

Beliau berkata, kementerian mengaktifkan semula penerimaan sumbangan tunai di bawah Akaun Amanah ini dan Kementerian Kewangan juga meluluskan kemudahan potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Kementerian tidak melantik sebarang pihak atau ejen bagi melaksanakan kutipan sumbangan tunai atas nama kementerian ini.

“Sebarang pertanyaan dan pemakluman mengenai sumbangan tunai di bawah Akaun Amanah ini boleh hubungi 03-88833111 atau melalui emel [email protected],” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Katanya, Akaun Amanah ini ditubuhkan pada 23 Mac lalu bagi membolehkan syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai yang prihatin untuk menyalurkan sumbangan bagi kegunaan barisan hadapan ketika berlakunya wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Chaw Min berkata, Akaun Amanah itu ditutup pada 31 Mei lalu berikutan penurunan kes positif Covid-19.

Menurutnya, sebanyak RM31,671,903.27 telah disumbangkan secara tunai oleh syarikat, NGO dan orang ramai ke akaun berkenaan.

“Sehingga 30 September lalu, sebanyak RM30,597,202.81 telah diluluskan untuk dibelanjakan oleh Jawatankuasa Akaun Amanah di peringkat kementerian dengan baki sumbangan tunai kini sebanyak RM1,074,700.46.

“Sumbangan tunai yang diterima telah digunakan bagi tujuan membeli alat-alat kelengkapan perubatan antaranya seperti ventilator, termometer inframerah, mesin ultrabunyi dan katil-katil pesakit.

“Selain itu, pembelian reagen untuk ujian Covid-19 dan penghantaran pegawai-pegawai KKM untuk bertugas di Sabah bagi membantu menangani wabak di negeri tersebut turut menggunakan sumbangan tunai ini,” katanya.

Pihak yang ingin menyumbang ke Akaun Amanah boleh berbuat demikian menerusi akaun RHB di nombor 2-66016-0002347-5 atas nama Sumbangan Perubatan KKM.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI