fbpx
TEMPAT penginapan Kabin Kasturi didatangkan dengn tiga bilik tidur yang memuatkan lapan orang pada satu-satu masa.

Kabin Kasturi tawar pemandangan hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19, orang ramai mula keluar bercuti selepas berkurang di dalam rumah selama hampir tiga bulan.

Bermula 10 Jun lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan diperkenalkan dan rakyat hanya dibenarkan bercuti di dalam negara.

Bagaimanapun, bermula semalam hingga 27 Oktober ini, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperkenalkan semula di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah ekoran peningkatan kes wabak Covid-19.

Di negeri-negeri lain, orang ramai masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Dalam pada itu, antara destinasi yang menjadi pilihan ramai selepas PKP adalah penginapan yang menawarkan pemandangan alam semula jadi menghijau.

Salah satu tempat penginapan yang menjadi tumpuan ramai terutamanya dari Lembah Klang adalah Kabin Kasturi di Kampung Lubuk Kelubi Bt 20 1/4/ Hulu Langat, Selangor.

Pemiliknya yang juga Pengarah Daun Retreats, Mohamad Hurairah Mohamad Kasim berkata, selepas berakhirnya PKP, tempat penginapan itu tidak sepi daripada kehadiran pengunjung.

Jelasnya, tarikan utama Kabin Kasturi adalah pemandangan hijau di kawasan sekitar yang dipenuhi tumbuhan taman, sekali gus memberi ketenangan jiwa.

“Tempat ini mula dibuka kepada pengunjung pada 2018. Selepas dibuka, sambutan yang diterima agak perlahan, sebelum melonjak pada tahun lalu.

“Selepas berakhirnya PKP, saya dapati permintaan sangat memberangsangkan terutama daripada penduduk ibu kota,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

 

KABIN Kasturi sesuai dijadikan tempat bersantai bersama rakan-rakan.

 

Mengetengahkan penginapan konsep kabin kayu, tempat penginapan tersebut didatangkan dengan tiga bilik tidur yang mampu memuatkan seramai lapan orang pada satu-satu masa.

Setiap bilik yang bersaiz lima meter persegi itu dilengkapi dengan sebuah katil bersaiz queen dan pendingin hawa.

“Kemudahan lain yang ditawarkan di sini adalah dua buah tandas, televisyen, pemain cakera video digital (DVD), pembesar suara, permainan karom, peti ais, pemanas air dan meja makan.

“Kabin Kasturi turut memiliki sebuah sebuah kolam persendirian seluas tiga meter persegi yang menghadap pemandangan bukit menghijau.

“Pada sebelah malam, pengunjung boleh melakukan aktiviti barbeku di tempat yang disediakan,” katanya.

Pengunjung boleh menambah sarapan pagi pada harga RM10 seorang. Sekiranya tidak, mereka boleh membeli makanan di gerai berhampiran.

Dalam pada itu, Mohamad Hurairah memaklumkan, para pengunjung tidak perlu bimbang dengan suhu panas apabila menginap di dalam kabin.

Jelasnya, pihaknya telah memasang papan penghadang haba di semua bilik bagi memastikan ia tidak terlalu panas terutamanya ketika tengah hari.

Selain tarikan penginapan, Kabin Kasturi turut dikelilingi dengan pelbagai tempat menarik di sekitar Hulu Langat.

 

KOLAM persendirian turut disediakan di Kabin Kasturi dengan berlatarbelakangkan bukit menghijau.

Menurut Mohamad Hurairah, terdapat beberapa tempat tarikan menarik di situ antaranya Sungai Congkak, air terjun Sungai Gabai, Sungai Lui, restoran terapung dan Skytrex.

“Salah satu sebab tempat ini menjadi pilihan adalah lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan banyak kawasan rekreasi popular,” ujarnya.

Untuk makluman, Kabin Kasturi hanya menerima tempahan secara berkumpulan iaitu sehingga lapan orang dan tidak menerima sebarang tempahan mengikut bilik.

Dalam pada itu, kata Mohamad Hurairah, sepanjang PKPB yang baru diumumkan ini, pihaknya menutup tempat itu selama dua minggu.

“Mereka yang telah membuat tempahan awal, boleh menundanya ke satu tarikh lain.

Salah seorang pengunjung, Illi Hafizah Hisham, 30, memberitahu, Kabin Kasturi menawarkan tempat percutian ideal secara berkumpulan.

“Tempat ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan. Di sini, kami dapat mandi, makan dan barbeku bersama,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN