fbpx

“Saya kendali ikut undang-undang” – YDP Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan kedudukan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah sesuatu yang unik dalam sistem yang diamalkan di negara ini.

Jelas beliau, sistem yang diamalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan yang dijalankan Dewan Rakyat di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri.

“Saya ingin tekankan bahawa apa-apa usul yang dibuat dan diberi pemberitahuannya kepada saya ataupun Setiausaha Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat akan saya kendalikan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan malam ini.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada surat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bertarikh 25 September 2020 kepadanya dan surat jawapannya bertarikh 29 September 2020.

“Saya difahamkan bahawa surat-surat tersebut telah diedarkan oleh pejabat Tengku Razaleigh dan telah menjadi pengetahuan umum,” ujarnya.

Menurut Azhar, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tengku Razaleigh kerana telah memberi peluang kepadanya untuk memberi penerangan mengenai kedudukan usul undi tidak percaya di mana vateran UMNO itu fikirkan telah dihalang daripada dibahaskan dengan cara menyenaraikannya di penghujung senarai perbahasan.

“Saya telah menjawab kemusykilan Tengku Razaleigh secara bertulis seperti mana di dalam surat saya yang tersebut di atas.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Razaleigh di atas kesudian memberi peluang kepada saya untuk menerangkan kedudukan perkara tersebut secara lisan kepada beliau,” jelasnya.

Terdahulu hari ini, tular surat Tengku Razaleigh kepada Azhar yang meminta penjelasan berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Dalam jawapan balas beliau kepada surat berkenaan, Azhar menjelaskan adalah tidak benar mengatakan Perdana Menteri tidak membenarkan usul itu untuk dibahaskan, sebaliknya setiap urusan kerajaan perlu didahulukan seperti yang termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Menurut Azhar dalam surat jawapan balasnya itu, jika masih terdapat urusan-urusan kerajaan dan Tengku Razaleigh ingin memberi keutamaan kepada Usul-usul persendirian yang tertentu maka adalah disarankan supaya berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI