fbpx
SHARUL KAMAL

Sharul Kamal serlah potensi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEMBAHAN penyanyi, Sharul Kamal menerusi lagu Seruling Anak Gembala dendangan asal Datuk Jeffrydin menerusi program Immortal Songs baru-baru ini bukan saja menarik perhatian juri, malah penonton di rumah.

Nyanyian mantap penuh bertenaga daripada Sharul itu sekali gus menempatkan dirinya di posisi konsert minggu berkenaan yang menampilkan episod legenda muzik pop yeh yeh tanah air, Datuk Jeffrydin.

Di sebalik kejayaan tersebut, ada halaman tersembunyi yang dianggap rezeki buat jejaka berusia 24 tahun itu.

SHARUL KAMAL kini menyandarkan single terbaharunya, Maaf untuk menembusi perhatian peminat
muzik tanah air.

“Saya menyertai program berkenaan pada saat akhir sebab ada artis lain tarik diri. Kebetulan saya ada bersama penyanyi Akim untuk sesi soundcheck program terbitan TV3.

“Apabila mereka melihat saya, mereka terus tawarkan peluang. Saya diberi lagu pada hari Khamis dan rakaman program dijalankan pada Ahad.

“Lagu yang dipersembahkan pun saya pilih pada saat akhir. Kenapa lagu itu, sebab lagu popular Datuk Jeffrydin semua sudah dipilih penyanyi lain.

“Jadi, saya cari lagu lain. Freddy yang buat beberapa susunan muzik dan saya pilih seperti apa yang dipersembahkan pada malam tempoh hari.

“Akim pun kata okey. Jadi, saya hanya ada masa tiga hari saja untuk siapkan semua. Saya juga tak meletakkan sasaran nak menang, sebab semuanya saat akhir. Apabila menang, saya anggap sangat berbaloi dan rezeki,” katanya.

SHARUL KAMAL kini menyandarkan single terbaharunya, Maaf untuk menembusi perhatian peminat muzik tanah air. Lagu Seruling Anak Gembala yang dipersembahkan dalam program Immortal Songs baru-baru ini seperti memperkenalkan semula bakat bekas peserta AF2015 ini.

Single Maaf

Ironinya, peminat mulai mencari dan mendengar semula single yang pernah dirakamkan pemilik nama sebenar Muhammad Sharul Amin Kamarozaman itu.

Antaranya yang terbaharu ialah Maaf, lagu hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik nukilan Bunga Cantik.

“Lagu ini dirakam tahun lalu. Sepatutnya dilancarkan juga tahun lalu, tetapi disebabkan beberapa perkara, rencana itu ditunda. Selepas membuat perbincangan dengan pihak pengurusan iaitu Rhythm and Rhyme Entertainment (RNR), barulah lagu itu dilancarkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

“Video muzik pula dirakam pada Jun dan seminggu selepas lagu dilancarkan menerusi semua platform digital, video muzik juga telah dilancarkan dalam YouTube,” katanya.

Apa yang membuatkan bekas bintang Akademi Fantasia 2015 (AF2015) itu berpuas hati ialah pendengar dan peminat memahami mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan.

“Saya belum ada lagu yang hit yang dimainkan radio. Awalnya, saya rasa terbeban untuk sertai program berkenaan sebab semua penyanyi yang masuk sudah ada tempat masing-masing.

“Saya tidak menjangka rezeki ini memandangkan masih berusaha mencari tempat untuk tembus masuk dalam pasaran muzik arus perdana,” katanya yang merasakan kini waktu sesuai untuk mempromosikan single terbaharunya.

MEMILIKI vokal dan gaya tersendiri, namun entah di mana silapnya, Sharul Kamal kurang dikenali selepas keluar daripada AF2015.

“Sekarang, saya rasa lagu Maaf berjaya dan menarik apabila orang faham dan terima lagu ini,” katanya.

Seperkara yang boleh dilihat pada diri Sharul ialah kemampuannya menyanyikan pelbagai jenis lagu dengan cara tersendiri.

Lagu Maaf yang bergenre folk country dilihat jauh daripada forte Sharul dan kesemua single terdahulunya.

“Sejujurnya, ini bukan forte muzik saya, tetapi saya okey saja. Forte saya macam apa yang saya persembahkan dalam Immortal Songs. Saya juga sudah pernah menyanyikan genre pop dan balada menerusi single sebelum ini.

“Jadi, Maaf merupakan lagu ‘luar kotak’ saya. Saya selesa dan mahu mencuba sesuatu yang baharu. Akim pun kata okey saya nyanyikan genre ini. Apabila mendengarkan hasilnya, saya puas hati ditambah pula dengan sambutan baik yang diterima ketika ini,” ujarnya.

Bakat

Alang-alang menyeluk pekasam, Sharul berharap penampilannya pada program Immortal Songs dapat memberikan lebih banyak peluang untuknya mengetengahkan bakatnya.

Dia juga bersedia memberikan komitmen penuh kerana baginya nyanyian merupakan kecintaan yang mahu dikongsikan dengan semua orang.

“Saya mahu berterima kasih kepada Akim, Stacy dan Epul kerana sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk menonjolkan bakat yang ada. Kalau diberi peluang lagi, saya akan buat yang lebih baik.

“Saya sangat bersyukur kerana Allah SWT meletakkan jalan seni saya begini. Tuhan nak bagi saya belajar banyak perkara dan duduk dengan orang berpengalaman. Insya-Allah, saya akan berjaya suatu hari nanti,” akhirinya.

BELUM ada lagu hit yang bermain dalam radio, Sharul berharap ada ruang dan peluang untuk bakatnya menyinar selepas ini.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN