fbpx

Norizam lunas gaji pemain TRW hingga hujung musim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIZAM (tengah) sudah melunaskan semua bayaran gaji barisan pemain dan pegawai TRW sehingga akhir musim.

Oleh YATIMIN ABDULLAH

BARISAN pemain Kelantan FC menarik nafas lega selepas pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham sudah melunaskan semua bayaran gaji barisan pemain dan pegawai The Red Warriors (TRW) sehingga akhir musim.

Pengurus Operasi Team Red Warriors Sdn. Bhd (TRW Sdn. Bhd), Jamilulail Jamiludin berkata, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut dijelaskan oleh usahawan dan pakar pelaburan itu.

Menurutnya, kesemua bayaran itu dilunaskan sejurus Norizam mengambil alih pasukan Kelantan FC menerusi langkah penswastaan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Ini adalah salah satu usaha yang kita ambil bagi memastikan kebajikan pemain Kelantan FC terbela.

“Secara tidak langsung ia membuktikan kesungguhan Norizam untuk memastikan Kelantan FC bebas daripada bebanan hutang yang boleh memberikan impak negatif pada nama baik pasukan,” katanya.

Jamilulail berkata, pendekatan itu juga mampu meningkatkan lagi motivasi pemain menjelang saingan Piala Malaysia pada 20 Oktober depan.

Katanya, dia yakin pemain akan lebih fokus tidak lagi perlu memikirkan soal masalah gaji yang sering menghantui mereka sebelum ini.

“Saya optimis, Kelantan mampu melangkah lebih jauh dalam saingan itu nanti. Jadi saya berharap pemain dapat memberikan persembahan terbaik sebagai tanda terima kasih di atas usaha yang telah dilakukan oleh pemilik Kelantan FC,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI