fbpx

Lebih 300,000 pelajar di Petaling tidak bersekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman di Petaling Jaya antara sekolah yang ditutup mulai hari ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak 298 buah sekolah melibatkan anggaran lebih 300,000 pelajar di seluruh daerah Petaling, Sela­ngor ditutup bermula hari ini sehingga 25 Oktober depan berikutan pe­ningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit yang kini dika­tegorikan sebagai zon merah.

Keputusan itu selaras dengan perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan yang diisytiharkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, bilangan sekolah terbabit merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

Katanya, sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup dan ibu bapa serta penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid yang menunggu diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah jagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya di sini semalam.

 

PETA daerah Petaling.

 

KPM berkata, sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke suatu tarikh bersesuaian kelak.

Dalam pada itu, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, KPM berkata, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid sepanjang tempoh penutupan sekolah.

“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi www.moe.gov.my,” katanya.

Kelmarin Kosmo! melaporkan, KPM boleh mengeluarkan arahan penutupan sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif Covid-19 tanpa menunggu penilaian risiko oleh KKM selepas perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI