KUALA LUMPUR – Pusat beli-belah One Utama (OU) di Bandar Utama dan Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya ditutup bermula esok berikutan sembilan individu disahkan positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar, berkata penutupan tersebut bagi membuat saringan kontak rapat serta operasi nyah kuman.
“Sehingga kini terdapat empat kes positif di pusat beli-belah One Utama membabitkan tiga pekerja dan seorang pengunjung premis itu.
“Manakala lima kes positif Covid-19 membabitkan pekerja kelab golf Tropicana yang dilaporkan setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pekerja yang didapati positif itu adalah dari Bahagian Kosmetik dan Wangian, aras bawah Parkson Elite serta Mac City, aras dua.
Justeru, katanya, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mengunjungi dua tempat berkenaan bermula 30 September hingga 7 Oktober (Bahagian Kosmetik dan Wangian) serta pada 25 September hingga 30 September (Mac City) supaya membuat saringan Covid-19.
“Pejabat Kesihatan Daerah akan melakukan saringan kesihatan di One Utama pada 14 dan 15 Oktober ini bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang.
“Keutamaan proses saringan adalah kepada kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh yang dinyatakan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Johary berkata, individu bergejala sebelum tarikh saringan itu diminta ke fasiliti kesihatan berdekatan dengan segera untuk pemeriksaan dan rawatan. K! ONLINE.














