fbpx

Lebih 900 tong drum sisa minyak disita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa JAS Melaka menyita kesemua tempat penyimpanan berisi enapcemar minyak yang diletakkan secara haram di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling di sini.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menyita lebih 900 tong drum berisi sisa buangan terjadual enapcemar yang ditempatkan secara haram di sebuah kawasan lapang di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, Melaka.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar berkata, pihaknya turut merampas enam tangki intermediate bulk containers (IBC), tujuh tong tercemar dan lima buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak.

Jelasnya, sitaan itu dibuat dalam satu operasi bersepadu diketuai JAS Melaka yang dijalankan di kawasan tanah persendirian terbabit selepas menerima aduan daripada orang awam pada Khamis lalu.

“Bertindak hasil aduan orang ramai, JAS Melaka telah menjalankan risikan dan intipan termasuk pemantauan dengan menggunakan dron sebelum melaksanakan operasi bersepadu ke premis tersebut bersama pihak berkuasa pada 8 Oktober lepas.

“Hasil serbuan, kita telah menyita lebih 900 tong drum dan pelbagai jenis tempat simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar dipercayai dari loji penapisan minyak dengan kod SW314,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Norlin berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bahan-bahan bukti termasuk kesan cap jari untuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

“Pasukan siasatan JAS Melaka telah menjalankan persampelan dari bahan buangan tersebut yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dalam masa terdekat bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu.

“Sementara itu, pemantauan dron dan udara akan dilakukan dari masa ke semasa untuk memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, premis itu telah diarahkan untuk menjalankan pembersihan dan pelupusan buangan yang disyaki buangan terjadual setelah siasatan selesai dijalankan melalui Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) & 37(1)(c) AKAS 1974.

Ujarnya, kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000.00.

“Saya ingin memberi amaran kepada semua pihak terutamanya pengusaha industri supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa toksik dan berbahaya ini dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI