fbpx

K2

Bekas suami ingkar bayar nafkah anak dipotong gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK turut terkesan dengan pertelingkahan dan perpisahan ibu bapa. – GAMBAR HIASAN

PERKAHWINAN yang dibina oleh Dania (bukan nama sebenar) bersama pasangannya selama sedekad akhirnya terlerai.

Bahtera pasangan itu karam selepas dibadai fitnah oleh salah seorang ahli keluarga suaminya.

Suami Dania telah menghalaunya dari rumah sehingga membawa kepada tuntutan fasakh oleh Dania di sebuah mahkamah rendah syariah di sebuah negeri di Pantai Barat.

Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui mahkamah (hakim).

Selepas sah bercerai, pasangan yang dikurniakan dua cahaya mata masing-masing berusia tiga tahun dan lapan tahun ketika itu membuat haluan masing-masing.

Mahkamah telah menetapkan hak penjagaan anak sulung mereka kepada suami, manakala anak bongsu kepada Dania.

Dania dan anak bongsunya itu terpaksa memulakan kehidupan baharu dengan menumpang di rumah kakaknya.

Hasil usaha mencari pekerjaan, Dania akhirnya diterima bekerja sebagai pembantu jualan di salah sebuah syarikat pengeluar produk kecantikan.

Gaji yang diterima Dania sekadar cukup-cukup makan untuk menyara mereka dua beranak, lantas Dania amat mengharapkan bekas suami membayar nafkah anaknya pada setiap bulan untuk meringankan bebanannya.

“Selepas bercerai, mahkamah syariah menetapkan supaya bekas suami membayar nafkah anak sebanyak RM200 sebulan bagi tujuan membeli barang kelengkapan anak seperti susu dan bayaran pengasuh yang menjaga anak apabila saya pergi bekerja.

“Malangnya, bekas suami tidak pernah bagi satu sen pun selama hampir setahun. Dia gagal memenuhi tanggungjawabnya sebagai bapa,” katanya kepada K2.
Memburukkan lagi keadaan, selepas berpisah suaminya tidak pernah menghubunginya untuk bertanyakan khabar mengenai keadaan anak mereka.

“Saya juga rindukan anak sulung saya dan anak saya merindui kakaknya tetapi tidak pernah dapat menghubungi bapanya,” katanya.

Dania juga cuba menelefon suaminya untuk meminta nafkah yang dijanjikan, namun panggilannya tidak pernah diangkat.

“Saya berasa pelik dan hairan, dia (bekas suami) bekerja elok sebagai perancang landskap di sebuah syarikat swasta. Sepatutnya, dia tiada masalah untuk membayar nafkah anak berjumlah RM200 sebulan. Wang ini untuk anaknya, bukan kegunaan saya,” tegasnya.

Enggan membiarkan hal itu berterusan, Dania terpaksa merujuk kesnya ke Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Jabatan Kehakiman Syariah negeri tersebut bagi menuntut nafkah anaknya.

“Pada mulanya, saya berasa amat takut untuk mengambil tindakan itu. Namun, saya terpaksa kuatkan semangat demi masa depan anak.

“Namun, saya yakin bekas suami sengaja culas membayar nafkah seperti mana yang diperintahkan mahkamah syariah sebelum ini,” ujarnya.

Hasil perbincangan bersama pihak BSK, pegawai bertanggungjawab telah berjanji untuk mewakili Dania bagi mendapatkan nafkah anak daripada bekas suaminya.

Selepas seminggu membuat laporan di BSK, pegawai itu memaklumkan bahawa bekas suami Dania tidak memberi kerjasama.

“Pihak BSK menelefonnya pun dia (bekas suami) tidak mahu layan. Dia tidak menjawab panggilan telefon daripada wakil BSK. Bekas suami seperti mencabar mahkamah syariah,” ujarnya.

Suami gagal hadir

Rentetan itu, Dania menjelaskan, pihak BSK telah melaksanakan prosiding Saman Penghutang Penghakiman bagi membuktikan bekas suami tidak membayar tunggakan nafkah kepada mahkamah.

Apabila dipanggil pihak mahkamah untuk membuktikan hal itu, bekas suaminya yang menetap di negeri lain gagal hadir pada tarikh ditetapkan.

“Selepas beberapa kali mahkamah memanggil, bekas suami tetap tidak hadir. Ia menyebabkan kes di BSK berlarutan selama setahun,” katanya.

Disebabkan itu, BSK telah mengambil langkah merujuk kes tuntutan nafkah itu kepada pihak syarikat bekas suaminya bekerja.

Hasil perbincangan dijalankan, pihak syarikat tersebut bersetuju membuat potongan gaji suaminya setiap bulan bagi membayar tunggakan dan bayaran bulanan nafkah anak itu.

Penantian Dania selama lebih setahun akhirnya berbaloi apabila syarikat suaminya bekerja telah membayar tunggakan nafkah berjumlah lebih RM2,000.

“Saya masih ingat lagi, pegawai BSK memberitahu, ramai wanita teraniaya disebabkan tindakan bekas suami yang sengaja tidak bayar nafkah anak.

“Apa yang menyedihkan perbuatan itu turut memberi kesan kepada anak-anak yang menjadi mangsa perpisahan ibu bapa mereka,” imbaunya.

Sebelum mengakhiri bicara, Dania menyeru wanita-wanita teraniaya di luar sana supaya memberanikan diri untuk menuntut hak mereka.

Jelasnya, ramai wanita enggan menuntut hak mereka daripada bekas suami kerana tidak tahu saluran yang betul.

“Sekalipun pendapatan anda sudah boleh menyara diri dan tanggungan, namun hak tetap hak dan ia tidak boleh dinafikan. Tiada alasan untuk bekas suami tidak membayar nafkah kecuali jika dia sakit kronik, lumpuh atau hilang upaya kekal,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI