fbpx

Agihan royalti dibayar Disember depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Agihan royalti kepada penyanyi dan pemuzik yang terkesan berikutan pembubaran Music Rights Malaysia (MRM) Berhad akan dilakukan selewat-lewatnya pada Disember depan.

Perkara itu dipersetujui oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan PRISM Performers Verification and Claims Committee (PPVCC) dalam satu mesyuarat pada 5 Oktober lalu.

Menerusi kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), isu tersebut sedang ditangani oleh kerajaan dan beberapa rundingan kini sedang berjalan.

Katanya, mesyuarat yang diselaraskan oleh KPDNHEP selaku moderator diadakan setiap dua minggu bagi memantau agihan royalti oleh semua pihak terlibat.

“Pihak terlibat disarankan agar mematuhi tempoh yang telah dipersetujui bagi memastikan tiada kelewatan timbul dalam isu ini.

“Bagi mendapatkan penyelesaian terbaik, ahli PRISM harus memberikan sokongan dan kerjasama kepada MDI selaku pemegang amanah untuk mengesahkan nama ahli PRISM yang benar-benar layak menerima tunggakan royalti,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, menteri di kedua-dua kementerian iaitu Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Saifuddin Abdullah juga bersetuju bahawa isu itu perlu ditangani melalui rundingan secara lebih kerap dengan matlamat untuk mendapatkan hasil yang bermanfaat kepada semua pihak terlibat.

Katanya, isu tersebut juga boleh dikemukakan oleh pihak yang terlibat kepada Tribunal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sekiranya tiada persetujuan dicapai.

“Tribunal Hak Cipta boleh menentukan isu yang dikemukakan oleh pihak berkaitan termasuk aduan oleh pencipta karya, pengendali, individu atau organisasi, rayuan oleh badan yang berlesen dan permohonan daripada mana-mana individu,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, tiga badan pelesenan muzik iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad mengumumkan pembubaran Music Rights Malaysia (MRM) Berhad. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI