PERJALANAN karier nyanyian bekas juara pertandingan One in a Million (OIAM) musim kedua, Ayu Damit mungkin tidak semeriah seperti penyanyi lain.
Sinar bintangnya terang cuma seketika sebelum kelam menghilang entah ke mana. Biarpun pernah melayakkan diri bertanding dalam pertandingan berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL) dengan mempertaruhkan lagu Hanya di Mercu, peluang tersebut bukan jaminan untuk Ayu memacu tari dalam industri hiburan.
Semasa bertanding dalam AJL, gaya dan penampilan wanita kelahiran Putatan, Sabah itu mencuri perhatian sehingga dia digelar sebagai Tina Turner Malaysia.
Sebenarnya sejak menyertai OIAM, penampilan Ayu telah menjadi perhatian. Imej kampung yang dibawa menjadi bualan.
Bahkan, Ayu sendiri mengakui pernah diejek dan menjadi mangsa body shaming, gara-gara berkulit gelap. Namun, kemantapan vokal dan nyanyiannya menutup segala kelemahan.

Selebriti pertanian
Peluang bertemu dengannya baru-baru ini, penyanyi yang kini manis bertudung itu membuka cerita.
“Saya tidak pernah berhenti menyanyi kerana itu merupakan salah satu sumber pendapatan saya selain daripada pertanian,” kata ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.
Selain lagu ‘cari makan’ Hanya di Mercu, Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit pernah menzahirkan beberapa buah lagu lain seperti, Dari Hati, Hati Ini dan yang terakhir Beauty Till Jannah pada 2016, namun semuanya gagal mendapat sambutan.
Enggan menyalahkan sesiapa, jauh sekali takdir, Ayu menganggap kurang publisiti dan promosi menjadi sebab utama kariernya sedikit kelam.
“Ayu bergerak sendiri dan mengakui perjalanan karier Ayu kurang menyerlah sebab kurangnya promosi dan publisiti pada masa itu.
“Disebabkan itu Ayu mula beralih ke bidang perniagaan iaitu melibatkan pertanian walaupun keinginan untuk terus berkarya masih kuat,” katanya.
Rezeki
Sejak lima tahun lalu, Ayu mula dikenali sebagai selebriti pertanian apabila menceburkan diri dalam perniagaan dengan mengusahakan ladang cili dan kacang panjang di Hulu Langat, Selangor.
Penyanyi bersuara besar itu juga boleh berbangga apabila berjaya membuka sebuah restoran, Ayu Damit X Tok Mak Citarasa Antarabangsa yang terletak di Bukit Antarabangsa.
Di restoran tersebut, Ayu menjual pelbagai makanan berorientasikan selera seluruh rakyat Malaysia dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak.
“Rezeki saya berpihak pada bidang perniagaan. Banyak yang saya belajar selama lima tahun menceburkan diri dalam bidang perniagaan antaranya kena berusaha dan jangan mudah putus asa,” ujarnya.
Sambil menunjukkan beberapa bekas lecur di tangan ketika memasak, penyanyi berusia 31 tahun itu juga memberitahu bahawa dia turut menjual kuih baulu serta sate yang diperap dan dicucuk sendiri.

Tujuh kali
Terbaharu, Ayu melahirkan rasa syukur apabila terpilih menjadi salah seorang peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) yang akan bermula pada 11 Oktober nanti.
Sebelum terpilih menjadi salah seorang peserta GV7, Ayu sebenarnya telah enam kali mencuba untuk memasuki pertandingan tersebut, namun tidak pernah berjaya.
Tahun lalu, namanya disenarai pendek sebagai peserta, namun terpaksa akur kerana tetap gagal beraksi di pentas GV6.
Tahun ini, setelah terpilih bersama 13 penyanyi lain untuk GV7, Ayu mula sibuk menjalani sesi latihan dan persiapan menjelang pertandingan.
Bahkan, suami tercinta, Syed Fauzi Syed Baharuddin antara individu yang paling kuat memberi sokongan untuk dirinya kembali ke pentas nyanyian.
Vokal
Mengakui apabila suaranya menjadi semakin besar, Ayu tidak segan mengikuti kelas vokal bersama penyanyi, Bob Yusof untuk mencari nada yang bersesuaian dengan suaranya.
“Sebenarnya Bob sendiri yang jumpa saya dan tawarkan diri untuk menjadi guru vokal.
“Katanya, saya tidak perlu belajar vokal, cuma perlu cari kesesuaian memandangkan saya mengalami perubahan vokal,” katanya.
Mahu menjadikan GV7 sebagai platform terbaik membuktikan keupayaan diri sebagai penyanyi versatil, Ayu berkata, sebenarnya tidak mahu bersaing terlalu kuat dengan peserta lain, namun akan berusaha untuk memberikan yang terbaik.
Pentas GV7 juga disifatkan Ayu sebagai landasan untuk semua peserta memberikan persembahan terbaik dan membuktikan pada masyarakat bahawa penyanyi lama masih berbisa.
Ayu yang kini bernaung bawah syarikat Indigital Music berharap peminatnya akan setia memberi sokongan, seperti yang diterima sewaktu OIAM, 13 tahun lalu.















