fbpx

Revington kembali ke pangkuan MHC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUBAHAN (tengah) mengalu-alukan kehadiran Revington (tiga dari kiri) pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

BEKAS jurulatih terbaik dunia, Paul Revington pulang ke pangkuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas semalam.

Revington yang pernah menjadi ketua jurulatih pasukan hoki kebangsaan memeterai perjanjian bersama MHC dengan kontrak selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal percaya, jurulatih dari Afrika Selatan itu adalah calon tepat bagi memantau serta memberi sokongan kepada skuad projek khas lelaki dan wanita.

Kata beliau, pengalaman luas yang dimiliki Revington terma­suk pernah memegang jawatan Pengarah Teknikal pasukan hoki wanita Britain turut menjadi faktor pemilihan tersebut.

“Selepas beberapa khabar angin, hari ini (semalam) MHC mengumumkan Paul Revington sebagai Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas dengan kontrak selama tiga tahun.

“Beliau adalah calon paling tepat kerana beliau tahu apa program yang diperlukan skuad lelaki dan wanita. Selain itu, beliau juga sudah biasa dengan selok-belok serta situasi di sini,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Pada masa sama, Subahan juga menjelaskan, kehadiran Re­vington adalah untuk membantu skuad projek khas bagi tempoh jangka panjang, bukannya mengharapkan keputusan segera.

Tegasnya, beliau mahukan kesinambungan menerusi projek 2026, terutamanya skuad wanita memandangkan beliau tidak mahu pasukan hoki negara tenggelam timbul daripada pentas tertinggi dunia.

“Kami tidak mengharapkan keputusan segera daripada beliau kerana kita ada projek 2026, terutamanya untuk pasukan wanita yang dibarisi ramai pemain muda. Sasaran kita adalah untuk jangka panjang.

“Saya mahukan kesinambu­ngan daripada projek ini akan menjadi Malaysia pasukan yang sentiasa layak ke Piala Dunia, ­Olimpik dan Sukan Asia. Kita enggan jadi pasukan yang tidak stabil,” jelasnya.

Sebagai rekod, skuad projek lelaki dalam persiapan menghadapi Piala Remaja Asia pada Januari depan manakala skuad projek wanita akan menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia April nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI