fbpx

Ku Nan bayar pada LHDN RM40.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan membayar cukai pendapatan sebanyak RM40,358,336 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes saman itu secara baik di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 September lalu.

Melalui draf perintah persetujuan yang diperoleh daripada carian sistem mahkamah hari ini, Kerajaan Malaysia melalui LHDN bersetuju untuk meminda notis-notis taksiran tambahan Tengku Adnan atau Ku Nan selaku defendan bagi tahun taksiran 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 yang kesemuanya bertarikh 15 Mac 2019.

“Jumlah cukai tambahan yang dipinda adalah berjumlah RM40,358,336.61 termasuk penati-penalti yang membentuk jumlah penyelesaian cukai dan penyelesaian itu dianggap sebagai penyelesaian komposit yang dibuat di bawah Seksyen 96A Akta Cukai Pendapatan 1967,” kata perintah persetujuan itu.

Sebelum ini LHDN, dalam tuntutannya menuntut  Ahli Parlimen Putrajaya itu membayar cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35

Perintah persetujuan itu turut menyatakan pihak-pihak akan membincangkan dalam tempoh 45 hari dari tarikh perintah persetujuan  mengenai cara pembayaran.

“Sekiranya pihak-pihak gagal mencapai kesepakatan mengenai cara pembayaran, penyelesaian ini akan dibayar sebelum 31 Disember 2020.

“Plaintif (Kerajaan Malaysia) dan Tengku Adnan dengan ini menarik balik semua permohonan-permohonan interlokutari yang dibuat di bawah prosiding sivil ini dan tidak akan ada perintah mengenai kos,” menurut perintah persetujuan berkenaan.

Draf perintah persetujuan bertarikh 23 September lalu itu turut ditandatangani oleh wakil peguamcara daripada pihak plaintif dan defendan serta ditandatangani oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Terdahulu pada 23 September lalu, selepas prosiding, terma-terma perjanjian dan jumlah yang perlu dibayar tidak didedahkan kepada pihak media.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN selaku plaintif memfailkan saman itu pada 24 Julai 2019, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus sudah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI