fbpx
BERHATI-HATI jika mendapat panggilan telefon daripada orang tak dikenali yang memaklumkan anda terbabit dengan kes jenayah dan sebagainya kerana ia adalah daripada sindiket penipuan terancang. – Gambar hiasan

Takut, panik mudah ditipu scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS bersara sebagai eksekutif sebuah kilang di Pulau Pinang, Salmah (bukan nama sebenar) banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.

Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, wanita berusia 56 tahun itu banyak dihabiskan di ceruk dapur bagi menyiapkan sajian untuk suami dan anak-anaknya.

Pada satu pagi ketika sedang sibuk menyiapkan sajian tengah hari, Salmah terdengar deringan telefon dari dalam bilik tidurnya.

Dia terus bergegas menjawab panggilan daripada orang tidak dikenali. Pemangil lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat inspektor dari Kuala Terengganu.

Perasaan Salmah mula berasa bimbang dan gementar kerana takut telah melakukan sebarang kesalahan melibatkan kesalahan jenayah.

“Macam ini, saya dapati ada orang telah menggunakan kad kredit milik puan yang hilang beberapa tahun lalu untuk tujuan penipuan di beberapa buah premis di negeri ini.

“Jadi, disebabkan kad kredit ini atas nama puan. Maka, kami minta puan untuk datang ke balai polis Kuala Terengganu dengan segera,” ujar ‘inspektor’ polis tersebut.

Salmah yang ragu-ragu dengan pemangil tersebut terus menamatkan panggilan disebabkan bimbang ditipu. Lagipun sepanjang hidupnya, dia tidak pernah mempunyai kad kredit.

Lantaran itu, Salmah telah membuat semakan nombor telefon menerusi Google, ternyata pemangil terbabit daripada balai polis Kuala Terengganu.

Selang beberapa minit kemudian, Salmah sekali lagi menerima panggilan daripada ‘inspektor’ berkenaan.

“Kenapa puan letak panggilan sebentar tadi. Saya ingin bantu puan selesaikan masalah ini.

“Kalau puan tidak percaya, saya akan sambungkan panggilan ini kepada pihak mahkamah,” ujar ‘inspektor’ itu dalam nada tegas.

Salmah bersetuju untuk meminta ‘polis’ berkenaan menyambungkan panggilan kepada pihak mahkamah bagi mendapatkan kepastian mengenai kesnya.

“Saya merupakan wakil mahkamah di sini. Macam ini, kami mahu puan datang ke sini untuk beri keterangan kepada mahkamah mengenai kes ini.

“Kalau puan tidak dapat datang, puan perlu bayar denda berjumlah RM20,000 hari ini bagi memastikan tidak ditangkap polis.

“Paling penting, jangan cerita perbualan kita ini kepada sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat,” ujar suara milik wanita yang mendakwa mewakili pihak mahkamah itu.

Salmah mula cemas kerana dia berasakan mustahil untuknya pergi ke Terengganu dari Kedah pada hari berkenaan.

Disebabkan rasa takut, Salmah terus bergegas ke pejabat pos berhampiran rumah untuk mengeluarkan wang simpanannya daripada akaun Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM20,000.

Sewaktu ingin mengeluarkan wang sebanyak RM20,000, pihak pejabat pos tidak membenarkan dia berbuat demikian. Hal ini kerana wang tunai di kaunter ketika itu tidak mencukupi dan hanya mempunyai RM10,000.

 

JANGAN terpedaya untuk memasukkan wang
ke akaun orang tidak dikenali. – Gambar hiasan

 

Salmah tetap meneruskan niatnya untuk mengeluarkan wang simpanannya meskipun hanya separuh daripada nilai dikehendaki.

Kemudian, dia terus pergi ke bank berhampiran untuk memasukkan jumlah wang ke dalam akaun yang diberikan wakil ‘mahkamah’ berkenaan.

Salmah telah menelefon wakil ‘mahkamah’ berkenaan untuk memaklumkan bahawa dia hanya dapat memasukkan wang sebanyak RM10,000 pada hari itu.

“Puan boleh dianggap menghina mahkamah. Kami tetap mahukan RM20,000 pada hari ini sebelum pukul 5 petang. Kalau tidak, kami akan keluarkan waran tangkap,” ujar wakil ‘mahkamah’ itu.

Salmah tidak ada pilihan lain dan dia terus menelefon suaminya yang bertugas sebagai pegawai kerajaan untuk meminjam wang bagi membuat pembayaran penuh.

Suaminya yang berasa curiga dengan keadaan itu menegaskan, Salmah mungkin telah ditipu scammer yang cuba mengaut keuntungan mudah.

Sebaik suaminya pulang ke rumah, mereka berdua telah ke balai polis berhampiran bagi membuat pengesahan mengenai kesnya di Kuala Terengganu.

“Hasil semakan rekod kami, nama puan tidak ada dalam mana-mana laporan polis. Jadi, kami syak, puan mungkin telah ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Penjenayah ini telah memintas nombor telefon balai polis sebenar untuk tujuan menipu orang ramai,” ujar anggota polis tersebut.

Apabila mengetahui dirinya ditipu, Salmah berasa sangat kecewa dan sedih apabila wang simpananya untuk hari tua sebanyak RM10,000 lepas sekelip mata.

Meskipun begitu, dia berasa bersyukur kerana jumlah wang yang diberikan tidak mencecah RM20,000 seperti dikehendaki penjenayah tersebut.

“Saya berasa seperti dipukau. Disebabkan rasa takut ditangkap polis, saya keluarkan wang simpanan tanpa berfikir panjang.

“Saya sangat menyesal kerana tidak membuat semakan berkaitan kes berkenaan di balai polis berhampiran terlebih dahulu,” ujar Salmah dalam nada kesal.

BERITA BERKAITAN