GAYA dan penampilan wanita itu sama seperti kebanyakan pengacara televisyen yang lain. Kemas dan cantik bergaya dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Namun, di sebalik kecantikan yang dimiliki pengacara terkenal Indonesia, Najwa Shihab itu, terlihat ketegasan yang sangat kuat dalam dirinya.
Awal minggu ini, namanya menjadi tular dalam media sosial. Ramai berbicara tentang keberanian pengacara wanita itu mewawancara Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Terawan Agus Putranto yang dijemput ke rancangan bual bicara, Mata Najwa “Edisi Menanti Terawan” menerusi saluran Trans7.
Hakikatnya, Najwa hanya menemu bual kerusi kosong yang diandaikan menteri tersebut sedang duduk di situ dan menjawab setiap soalan yang dikemukakannya.

Alasan Najwa? Semuanya gara-gara sikap hilang daripada radar Terawan saat diundang menjadi tetamu undangan ke studio Mata Najwa sejak berbulan.
Bukan sekali, bahkan jemputan terhadap pemimpin yang disifatkan individu paling layak memberi gambaran sebenar situasi terkini Covid-19 di Indonesia yang dilihat semakin memburuk itu telah diusulkan sejak enam bulan lalu!
Bosan menagih jawapan dan menunggu kemunculan Terawan di studio, Najwa serta produksinya tekad, mewawancara kerusi kosong, sebagai simbolik teguran buat Terawan dengan soalan yang cukup berbisa.
“Desakan bukan terhadap Presiden, tetapi masyarakat antaranya melancarkan petisyen meminta anda (Terawan) untuk meletakkan jawatan secara sukarela. Sedia untuk meletakkan jawatan?” soal Najwa buat Terawan yang hanya diwakili kerusi.

Memulakan karier sebagai pengacara sejak tahun 2001, wanita kelahiran kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia itu memang cukup berkarisma.
Aura pengacara dan bekas pembaca berita berdarah kacukan Arab itu memang cukup dikenali sebagai seorang yang cergas, tegas dan kritis.
Tidak mengira siapa, Najwa lantang saat memberi komentar tentang politik dan isu sosial di Indonesia jika ada yang tidak kena pada matanya.
Berbicara soal kehidupan peribadinya, Najwa sama seperti kebanyakkan wanita lain. Dia juga mengimpikan kehidupan bahagian bersama suami dan anak-anak dalam melayari alam berumah tangga.
Tidak ramai yang tahu, isteri kepada Ibrahim Sjarief Assegaf itu antara selebriti yang memutuskan untuk menikah pada usia muda.
“Saya tidak pernah bercita-cita untuk mengakhiri zaman bujang pada usia muda.
“Sejujurnya saya memutuskan untuk menikah pada usia 20 tahun kerana yakin telah bertemu dengan jodoh yang terbaik,” ujar graduan jurusan undang-undang di Universitas Indonesia itu.
Bahkan, sebelum menginjak usia 20 tahun lagi, Najwa mengaku sudah menerima lamaran suaminya iaitu pada usia 19 tahun.

Menelusuri alam perkahwinan pada usia dini, Najwa berkata, rumah tangga yang dibina tidak seperti perkahwinan pasangan yang lain.
Akuinya, kehidupan bersama suami pada ketika itu ibarat pasangan muda yang sedang hangat bercinta.
Mereka kekok menguruskan rumah tangga, ditambah pada waktu itu Najwa masih menuntut di universiti.
“Rasanya seperti belum menikah kerana masih tinggal bersama kedua-dua orang tua dan kadangkala di rumah mertua.
“Jadi rasanya seperti bercinta sama kekasih tetapi tinggal serumah,” ujarnya.
Di balik penampilannya yang tegas dengan lirikan mata yang tajam, personaliti televisyen itu juga tidak lepas daripada memiliki kisah pilu dalam hidup.

Kehilangan puteri
Tanggal 15 Mac 2018, Najwa terpuruk dalam kedukaan yang gelap selepas anak keduanya, Namiya meninggal dunia.
“Waktu hamil anak kedua ialah saat yang sangat sukar. Saya harus berehat di atas katil selama empat bulan di hospital dan tidak boleh turun,” kata Najwa yang berumah di hospital sehingga selamat melahirkan anak keduanya.
Bagaimanapun, takdir menentukan, bayi yang baharu seketika melihat dunia itu meninggal dunia, empat jam selepas dilahirkan.
Kematian Namiya membuatkan Najwa kecewa dan menyalahkan diri sendiri. Namun pada masa sama, kejadian tersebut mengajar Najwa untuk lebih menghargai kehidupan dan meneruskan hidup seperti biasa dengan senyuman, walaupun hakikatnya amat sukar.
“Sehingga sekarang saya masih belajar untuk mengikhlaskan pemergian Namiya walaupun berat,” tegasnya.
Berbalik kepada tindakannya menemu bual kerusi yang sepatutnya diduduki seorang menteri di kaca televisen, rata-rata memuji kredibiliti Najwa yang mewakili rakyat Indonesia.
“Kami tahu tidak akan ada yang boleh menyelesaikan persoalan pandemik ini sendirian tetapi kami berharap anda setidaknya bersedia untuk memberi gambaran.
“Menteri Kesihatan, Terawan Agus Putranto, waktu dan tempat dipersilakan,” ungkapnya.
Tidak habis hanya dengan edisi Menantu Terawan, terbaharu Najwa agresif mempersoalkan tindakan pemimpin negaranya yang mengadakan perhimpunan besar-besaran tetapi melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga menjejaskan rakyat, sekali gus menambah risiko penularan jangkitan Covid-19.
Apa yang dilakukan Najwa, sebenarnya boleh menjadi rujukan media tanah air.
Mahu menjadi agresif atau pasif, tepuk dada tanya selera.














