fbpx

Serangan jantung semasa tangkap ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYAT Wan Razli ditemui di dalam bot gentian kaca miliknya oleh seorang nelayan di perairan Kijal, Kemaman kelmarin.

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN – Kerisauan seorang anak tentang nasib bapanya yang masih belum pulang selepas keluar menangkap ikan di perairan Kijal dekat sini kelmarin rupa-rupanya membawa petanda buruk selepas warga emas itu disahkan meninggal dunia di dalam bot miliknya.

Mayat Wan Razli Wan Hasan, 61, ditemui oleh seorang nelayan dalam keadaan terbaring di dalam bot gentian kaca kira-kira pukul 6.30 petang.

Anak bongsu mangsa, Wan Muhammad Azim Wan Razli, 21, berkata, bapanya yang menjadi nelayan pesisir pantai secara sambilan sejak kira-kira dua tahun lalu mula turun ke laut dari Jeti Kuala Kijal dekat sini pada pukul 2 petang.

“Saya risau ayah masih belum pulang ke rumah di Kampung Titian Berayun, Kijal dekat sini walaupun sudah hampir senja. Biasanya, paling lewat dia akan pulang pada pukul 6 petang.

“Kerisauan itu bagaimanapun terjawab apabila kami sekeluarga menerima panggilan pada pukul 8.30 malam yang memaklumkan mengenai kematian ayah,” kata­nya ketika ditemui Kosmo! di Jeti Kuala Kijal dekat sini semalam.

Wan Razli Wan Hasan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superinten­dan Hanyan Ramlan berkata, Wan Razli yang merupakan pesara Jabatan Kerja Raya dipercayai terkena serangan jantung ketika menangkap ikan di ­perairan Kijal.

Beliau berkata, mangsa difahamkan mempunyai sejarah penyakit jantung dan telah beberapa kali menerima rawatan di Hospital Kemaman di sini.

“Berdasarkan kenyataan rakan-rakan nelayan, warga emas juga mengadu tidak sihat sewaktu mengangkat peralatan menangkap ikan di Jeti Kuala Kijal sebelum turun ke laut.

“Bot gentian kacanya ditemui sekumpulan nelayan yang mahu pulang pada pukul 6.30 petang sebelum ditunda bersama mayat mangsa dan mereka tiba di Jeti Kuala Kijal pada pukul 8.20 malam,” katanya.

Hanyan berkata, mayat Wan Razli telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat dan kematiannya setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI