fbpx

Suami isteri ditahan tanggal gelang tangan kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gelang kuarantin - Gambar hiasan.

Oleh Ivan Amirul

LABUAN – Sepasang suami isteri warga asing ditahan susulan sengaja menanggalkan gelang tangan kuarantin Covid-19 semalam.

Tindakan pasangan berusia lingkungan 50 tahun itu membawa padah ekoran berada di tempat awam walaupun sudah diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, polis menahan suami isteri terbabit selepas menerima aduan daripada Jabatan Imigresen Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohamad Farid Ahmad berkata, pasangan itu sebelumnya memasuki Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu.

“Mereka kemudiannya diperintah untuk menjalani kuarantin pada hari sama sehingga 10 Oktober depan.

“Bagaimanapun, pasangan berkenaan semalam datang ke Pejabat Jabatan Imigresen Kompleks Ujana Kewangan Labuan untuk tujuan permohonan lanjut dokumen IMM13.

“Mereka didapati dengan sengaja menanggalkan gelang tangan kuarantin Covid-19 tanpa kebenaran Jabatan Kesihatan Labuan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mohamad Farid berkata, kedua-dua suspek ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini umtuk permohonan reman untuk tempoh lima hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohamad Farid berkata, pihaknya turut menahan dua individu warga tempatan berumur lingkungan 30 dan 40 tahun atas kesalahan sama iaitu ingkar perintah kuarantin.

Dua lelaki berkenaan didapati memakai gelang tangan kuarantin Covid-19 ketika sedang bekerja di satu lokasi pembinaan perumahan di Kampung Sungai Bangat semalam.

“Tangkapan dibuat hasil maklumat penyelia di tapak pembinaan kedua-dua suspek bekerja.

“Semua suspek sebelum ini masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu dan sudah mendapat perintah kuarantin.

“Namun mereka mengabaikan perintah kuarantin dan bekerja di tapak pembinaan perumahan berkenaan walaupun sudah dinasihatkan oleh penyelia mereka supaya patuh arahan perintah kuarantin,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI