fbpx
DARI kiri: Dyonisius, Mesran dan Ruzairy menunjukkan serpihan tembikar dan syiling lama yang ditemui di Sungai Kuala Pahang baru-baru ini.

Khazanah Dinasti Song di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEGIATAN mengorek pasir bagi kerja-kerja mendalamkan dasar Sungai Kuala Pahang di Kampung Pulau Jawa dekat Pekan, Pahang pada hari itu kelihatan seperti tidak ada apa-apa yang istimewa. Dari jauh, hanya kelihatan beberapa ‘pulau’ di tengah sungai yang sebenarnya timbunan pasir. Selain itu, kelihatan juga beberapa buah jentera pengorek yang mengeluarkan bunyi bising.

Di tebing pula, kadangkala kelihatan beberapa kaki pancing melemparkan mata kail untuk memburu ikan patin dan udang galah dalam cuaca baik. Itu suasana yang biasa dilihat orang ramai di sekitar Sungai Kuala Pahang.

Secara rutinnya, dasar sungai tersebut dikorek bagi melancarkan aliran air dari hulu bagi mengelak bencana banjir sekiranya hujan lebat atau air pasang di Laut China Selatan.

Kira-kira tiga jentera pengorek pasir menjalankan kerja-kerja tersebut siang dan malam di situ sejak beberapa bulan lalu. Namun, pada petang 12 Ogos lalu, para pekerja projek itu menjumpai sesuatu yang tidak pernah mereka saksikan di atas timbunan pasir yang dikorek.

Mereka menjumpai lapan serpihan seramik atau tembikar. Kehalusan seni pembuatannya sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan produk keluaran kilang-kilang moden dari China masa kini.

 

SERPIHAN barangan seramik serta syiling dari Dinasti Song.

 

Mereka turut menjumpai enam keping syiling bertulisan Cina yang mempunyai lubang berbentuk petak di tengahnya. Penemuan itu terus dilaporkan kepada pihak pentadbir daerah yang seterusnya menghubungi Jabatan Warisan Negara (JWN).

Mengulas mengenai penemuan tersebut, Ketua Pengarah JWN, Mesran Mohd, Yusop berkata, enam serpihan tempayan, satu serpihan pinggan dan satu serpihan menyerupai gelas panjang seramik serta syiling yang dijumpai itu dipercayai berusia kira-kira 1,000 tahun lalu.

“Ia dipercayai seramik dan syiling campuran pelbagai jenis logam dari zaman Dinasti Song yang bertarikh antara tahun 960 hingga 1279 Masihi berdasarkan ciri-ciri artifak-artifak itu. Ini satu penemuan bernilai sejarah yang sangat besar kepada negara.

“Penemuan ini juga bakal membuka lembaran baharu mengenai sejarah hubungan dagang antara Pahang dengan pemerintahan Dinasti Song di China pada kira-kira 1,000 tahun silam,” ujar Mesran kepada pemberita.

Sehubungan penemuan itu, Mesran membayangkan sejarah negeri Pahang boleh ditulis semula dengan fakta-fakta baharu yang akan ditemui para pengkaji arkeologi.

Menurut beliau, perkara yang menarik melalui penemuan itu adalah Tamadun China sebenarnya telah lama menjalin hubungan dagang dengan Pahang iaitu sejak zaman Dinasti Song.

“Kajian lebih mendalam akan dijalankan. Satu hari nanti, sejarah negeri Pahang akan ditulis semula berdasarkan penemuan artifak-artifak ini. Secara teorinya, boleh kita katakan bahawa Sungai Kuala Pahang adalah tempat persinggahan kapal-kapal dagang pada satu ketika dahulu,” tambah Mesran.

 

USAH ekskavasi berdepan cabaran kerana perlu menyelam di dalam Sungai Kuala Pahang yang dalam, deras dan keruh.

 

Melalui teori itu, Mesran turut membayangkan, Sungai Kuala Pahang kerap dimasuki kapal-kapal besar yang menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa dengan Pahang.

Teori itu juga sebenarnya tidak ‘berdiri’ longlai tanpa bukti sokongan apabila pasukan ekskavasi atau cari gali dilantik JWN turut menjumpai bangkai kapal kayu bersaiz besar. Kapal itu tertimbus di bawah tanah liat di dasar Sungai Kuala Pahang.

“Sejurus penemuan itu, kita melantik pasukan ekskavasi untuk melakukan pemeriksaan dengan bantuan penyelam skuba di dasar sungai. Dasar sungai itu sangat gelap dan tidak boleh dilihat walaupun dengan bantuan lampu suluh.

“Pasukan penyelam skuba hanya dapat melakukan pemeriksaan melalui sentuhan tangan di seluruh kawasan dasar sungai. Para penyelam melaporkan, tangan mereka menyentuh objek kayu bersaiz besar menyerupai bangkai kapal,” katanya.

Golongan pembesar

Mesran turut mengandaikan terdapat lebih banyak artifak yang masih berkeadaan sempurna di dalam bangkai kapal tersebut.

“Kita juga sangat ingin mengetahui siapa pembesar China dari zaman Dinasti Song yang mengetuai ekspedisi itu dan tujuan dia singgah di Pekan. Apabila jawapan-jawapan ini ditemui, kita akan mendapat fakta-fakta baharu sejarah negeri Pahang,” tambahnya.

Pengarah Jabatan Arkeologi JWN, Ruzairy Arbi menyifatkan kualiti tembikar China yang ditemui itu lazimnya digunakan golongan pembesar atau pegawai-pegawai diplomatik ketika zaman Dinasti Song.

Ujarnya, tidak mustahil kapal itu pernah dinaiki orang kenamaan ketika zaman tersebut berdasarkan penemuan artifak-artifak berkualiti tinggi.

“Peralatan seramik ini lazimnya digunakan orang besar (pegawai tinggi). Mungkin terdapat orang besar (pegawai) dari kerajaan Dinasti Song yang pernah singgah untuk menjalankan urusan di sini dan boleh jadi, ia bukan kapal pedagang biasa,” ujarnya.

Semua persoalan yang timbul bersama penemuan artifak-artifak tersebut pada ketika ini disifatkan seperti pecahan jigsaw puzzle yang perlu dicantum menjadi sebuah gambar yang lengkap.

Malah, terdapat lebih banyak cebisan jigsaw puzzle yang perlu didapatkan oleh pasukan ekskavasi bagi membolehkannya dicantum untuk membentuk ‘gambar’ besar bagi menceritakan sejarah sebenar yang berlangsung di Sungai Kuala Pahang pada kira-kira 1,000 tahun lalu.

Namun, proses mendapatkan cebisan-cebisan tersebut bukanlah satu tugasan mudah dan melalui pelbagai cabaran besar.

Ketua Pasukan Ekskavasi, Datuk Dr. Dionysius Sharma berkata, mereka juga perlu sentiasa mengikuti jadual pasang surut serta memantau keadaan air sungai sama ada keruh atau jernih sebelum memulakan kerja ekskavasi.

“Amat bahaya untuk menyelam ketika air pasang. Jika melihat kepada jadual air pasang surut, kita hanya dapat menyelam dengan selamat sebanyak dua kali dalam sebulan kerana takat air pasangnya tidak terlalu dalam dan deras,” ujarnya.

Menurutnya, usaha membongkar realiti penemuan itu amat penting termasuklah bagi menyokong catatan sejarah pedagang-pedagang China zaman silam yang menyebut nama negeri Pohong. Ia bagi mendapatkan petunjuk baharu bahawa Pohong yang dimaksudkan adalah Pahang.

“Dari sudut manuskrip lama yang saya rujuk, pedagang China pada abad ke-10 dan ke-11 ada menyebut sebuah nama tempat iaitu Pohong. Jika terbukti artifak dan bangkai kapal tersebut dari zaman Dinasti Song, ini membantu untuk menyokong catatan sedia ada tersebut mengenai kaitannya dengan Pahang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN