fbpx

Tukang rumah warga Bangladesh maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Perodua Kancil yang terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa seorang tukang rumah Bangladesh di KM 90, Jalan Jerangau - Jabor berhampiran Bukit Besi dekat Dungun hari ini.

Oleh NIK NUR IZZATI HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Seorang tukang rumah warga Bangladesh maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki bersama tiga rakan senegara merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer 90, Jalan Jerangau – Jabor berhampiran Bukit Besi dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi, mangsa berusia 30-an yang belum dikenal pasti identiti meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian mangsa dikatakan menaiki kereta Perodua Kancil tersebut bersama tiga rakannya untuk menuju ke Bandar Al-Muktafi Billah Shah dari Bukit Besi dekat sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu rakan mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di tepi jalan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tersepit di dalam kereta tersebut yang remuk teruk,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Baharudin berkata, tiga rakan lelaki itu termasuk pemandu kereta berkenaan yang dikatakan turut cedera bukan sahaja tidak membantu mangsa malah bertindak melarikan diri.

Beliau berkata, mayat lelaki Bangladesh berkenaan berjaya dibawa keluar oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI