fbpx
MISHA OMAR

Tanpa Rela, Misha si ratu emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULIS percaya, lagu Tanpa Rela mempunyai signifikan tersendiri buat penyanyi bersuara lunak, Misha Omar.

Masakan tidak, karya tersebut merupakan percubaan perdana Misha memakai ‘jersey’ komposer atau penulis lagu. Melangkah setapak ke hadapan, percubaan tersebut bukan sesuatu yang sia-sia.

Tanpa Rela boleh disifatkan penulis sebagai karya yang cemerlang dengan komposisi muzik melankolik indah, bahkan bersulam nukilan lirik syahdu mempersona.

Mengulas tentang komposisi muzik, penulis terbuai saat lagu memberi mukadimah ketika mula dimainkan.

Petikan gitar bersatu dengan alunan arkodian menjadikan melodinya sebuah kombinasi berkesan.

Pendengar juga mudah memberi apresiasi terhadap dua instrumen berkenaan.

Dari segi vokal, Misha sememangnya seorang penyanyi yang tidak pernah gagal membuatkan setiap pendengar alunan merdu suaranya tidak merinding.

Tanpa Rela meneruskan kemaraan Misha sebagai antara penyanyi wanita tempatan yang sangat ‘berkuasa’ dalam aspek penghayatan emosi.

Apabila anda mendengar vokalnya biarpun dia hanya melontar sepatah perkataan, anda akan mudah merasai apa yang cuba disampaikan.

SINGLE Tanpa Rela meneruskan kemaraan Misha Omar menjadi penyanyi tanah air yang sangat ‘berkuasa’ dari segi penghayatan emosi.

Emosi

Apatah lagi apabila dia mendendangkan sebuah karya yang berdurasi tiga minit 11 saat. Bagi penulis, Misha ialah seorang penyanyi yang selayaknya dilambung sebagai queen of emotion kerana sedari zaman bujang sehingga sekarang, dia tidak pernah gagal menjentik emosi pendengar melalui nyanyiannya.

Kualiti tersebut jarang-jarang ada dalam diri penyanyi pop masa sekarang.

Seperkara lagi, sejak album perdana berjudul Misha, dia telah membuktikan dia ialah seseorang yang mempunyai kuasa dan pengaruh dengan gaya nyanyian tersendiri.

Menyentuh perihal lirik, apa yang dikatakan lagi. Karya tersebut merupakan lahir daripada kerjasama dan idea daripada pasukan hebat dalam industri muzik. Lebih menarik, dua daripada mereka merupakan mantan wartawan hiburan yang kaya bahasa dan kosa kata indah.

Penulisan lirik dalam Tanpa Rela sebenarnya agak minimum, penulis percaya, ramai dalam kalangan pendengar mahukan penceritaan yang lebih memandangkan kualiti sedia ada pada Misha.

Kurang pasti dengan penerimaan orang lain, namun secara peribadi Tanpa Rela dirasai seperti masih mempunyai ‘roh’ Sampai Bila. Liriknya tentang seseorang yang dikhianati dalam Tanpa Rela juga masih ada sedikit persamaan dengan Sampai Bila.

Apapun, Tanpa Rela merupakan sebuah lagi lagu yang melebarkan penguasaan Misha sebagai apa yang penulis laungkan dalam bentuk perkataan pada perenggan ke tujuh.

Syabas buat ‘kak Mitch’ dan pasukan yang bekerja keras untuk Tanpa Rela!

TANPA Rela disifatkan masih bersulam roh Sampai Bila.

BERITA BERKAITAN