fbpx

12 ahli Geng 21 ditahan termasuk penembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai mengerumi kawasan insiden tembakan terhadap dua mangsa iaitu pengawal peribadi dan majikannya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting di sini semalam.

KUALA LANGAT – Seramai 12 individu dipercayai ahli kongsi gelap Geng 21 ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden tembakan terhadap pengawal peribadi dan majikan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting di sini semalam.

Kesemua mereka yang berusia 26 hingga 36 tahun itu ditangkap di sekitar Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Telok Panglima Garang bermula pukul 6 petang hingga 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, menerusi operasi yang dijalankan oleh pasukan khas ditubuh pihaknya itu turut menahan salah seorang suspek utama yang menembak kedua-dua mangsa di kawasan Sungai Jarom.

“Menerusi penangkapan itu juga membongkar penglibatan dua orang Asli yang menyertai kumpulan tersebut.

“Mereka kini direman bermula hari ini hingga 29 September depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Azizan menjelaskan pihaknya kini sedang mengesan saki baki ahli kumpulan kongsi gelap tersebut.

Kosmo! hari ini melaporkan dua suspek bersenjata api yang menunggang motosikal nekad mengekori sebuah kereta jenis BMW sebelum melepaskan sembilan das tembakan ke arah pemandu dan penumpang kenderaan berkenaan dalam kejadian di hadapan SMK Telok Datok, Banting di sini.

Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu mengakibatkan pengawal peribadi dan majikannya berusia 30an parah di bahagian dada dan badan, manakala tiga pelajar sekolah turut cedera dirempuh kereta dinaiki mangsa ketika cuba melarikan diri. -K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI