fbpx

K2

Restoran pesawat Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUASANA di dalam restoran Coffee War yang menggunakan badan pesawat di Pattaya, Thailand. - AFP

KUNJUNGAN lelaki bernama Intrawut Simapichet ke sebuah restoran di wilayah Pattaya kali ini dirasakan begitu berbeza dengan restoran lain yang pernah dikunjunginya.

Manakan tidak, kebiasaan restoran yang pernah disinggahi untuk menjamu selera terletak di premis-premis bangunan berdekatan jalan dan tidak kurang juga di dalam pusat beli-belah.

Namun, berbeza pada kali ini, restoran yang disinggahi dan dikenali dengan nama Coffee War yang terletak di pesisir wilayah Pattaya itu menggunakan badan kapal terbang komersial lama jenis Airbus A330 yang didekorasi menjadi sebuah premis moden serta unik.

“Sebelum ini, saya merupakan individu yang kerap mengembara, tetapi apabila terpaksa duduk di rumah ekoran pandemik Covid-19 yang berlaku, situasi itu sedikit sebanyak memberi tekanan dan sekatan perjalanan.

“Kewujudan restoran ini secara tidak langsung memberi kelegaan selepas sekian lama tidak menaiki pesawat, sekali gus dapat melepaskan rasa rindu untuk berada di awan biru,” katanya yang terpaksa menempuh perjalanan kira-kira dua jam dari bandar raya metropolitan Bangkok untuk tiba ke Coffee War.

Kunjungan pertama kali beliau dan isteri serta anaknya itu benar-benar memberikan satu pengalaman indah dan tidak dapat dilupakan lebih daripada sekadar menikmati hidangan makanan yang ditawarkan.

COFFEE War dibuka setiap hari Rabu hingga Jumaat bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam.- AFP

Menurut lelaki berusia 38 tahun itu, idea unik syarikat penerbangan nasional berpangkalan di Bangkok, Thai Airways membuka dan memperkenalkan restoran dalam rangka pesawat sangat bertepatan dengan situasi pandemik yang melanda dunia ketika ini.

“Pandemik Covid-19 yang melanda sekali gus memberi kesan ke atas industri pelancongan dan penerbangan di seluruh dunia. Thailand juga tidak terkecuali dan terlepas daripada wabak tersebut.

“Selain pintu sempadan ditutup dan orang ramai tidak dapat mengembara ke negara lain seperti yang sering dilakukan, pasti perasaan rindu untuk ‘terbang’ itu membuak-buak.

“Walaupun tidak dapat terbang secara realiti, namun dengan wujudnya kafe di dalam kapal terbang ini pun sudah cukup untuk pelanggan terutama ‘kaki jalan’ untuk melepaskan rindu dan seolah-olah berada di awan biru,” katanya.

Berlainan pula dengan Thipsuda Faksaithong, 26, pengalaman kali pertamanya berkunjung ke restoran tersebut sangat mengujakan dan merasakan seolah-olah berada dalam penerbangan sebenar.

“Saya berpeluang merasai pengalaman berada di pesawat dengan tempat duduk kelas pertama berserta hidangan makanan menyelerakan yang disaji.

“Pada kesempatan yang ada, saya turut berpeluang membuat lawatan di bahagian kokpit pesawat. Saya berasakan seolah-olah menjadi kapten penerbangan yang sedang mengemudikan sebuah pesawat besar bersama kru kapal bertugas dengan ratusan penumpang lain,” ujarnya dengan riak wajah gembira dan teruja.
Menurutnya lagi, bukan sahaja pelbagai makanan enak ditawarkan di dalam pesawat, malah terdapat juga satu ruang kedai yang menjual pelbagai barangan serta pakaian khas untuk sukan mendaki gunung.

Hidangan dan perabot

Menyentuh mengenai menu yang ditawarkan, Pengarah Urusan Thai Catering, Varangkana Luerojvong berkata, terdapat pelbagai pilihan makanan yang disediakan termasuk makanan dari Barat, India, Jepun dan asli dari Thailand.

Menurutnya, antara menu popular yang sering mendapat tumpuan pelanggan seperti spageti karbonara, tuna salad, pasta bolognese daging, shawarma ayam, roti nan, Yakisoba, kek keju blueberi dan pelbagai lagi.

“Kesemua staf restoran merupakan bekas pekerja Thai Airways termasuk kru kabin dan cef katering yang bertugas di dapur.

“Restoran ini hanya beroperasi tiga hari seminggu iaitu pada setiap hari Rabu hingga Jumaat. Ia akan mula dibuka seawal pukul 7 pagi dan makanan Barat hanya akan dihidang bermula pukul 9 pagi hinggalah habis terjual.

“Dari segi harga pula, kesemua hidangan dijual bermula pada harga 95 baht (RM12.50) ke 80 baht (RM23.70) dan ia merupakan harga mampu milik dan berpatutan untuk semua,” jelasnya.

Tambah Varangkana, buat penduduk di Bangkok yang ingin merasai menu yang ditawarkan di dalam pesawat, namun tidak berkesempatan untuk datang sendiri, ia turut boleh dilakukan menerusi penghantaran secara terus ke rumah.

Menariknya lagi, pengunjung pasti akan terpesona dengan susun atur meja dan perabot dalaman kabin yang semuanya diguna pakai semula daripada beberapa bahagian enjin, tayar dan tingkap kapal terbang lama itu sendiri.

PELANGGAN restoran di Bangkok ini dilayan kakitangan restoran dengan mesra seolah-olah berada di dalam pesawat.- AFP

Selain di Pattaya, restoran di ibu pejabat Thai Airways di Bangkok juga mencuri perhatian apabila bertemakan pesawat sepenuhnya. Untuk memasuki restoran tersebut, orang ramai perlu menaiki tangga seperti tangga pesawat.

Para pelanggan restoran itu turut dilayani oleh para pramugari Thai Airways yang kelihatan mengenakan pelindung wajah. Orang ramai turut membeli cenderamata seperti di dalam pesawat dengan troli yang melalui celahan tempat-tempat duduk penumpang.

Hidangan yang disajikan juga bertaraf sajian pesawat. Sebanyak 2,000 hidangan disediakan setiap hari di restoran itu.

Alternatif

Dalam mendepani cabaran ekonomi di samping terpaksa bergelut dengan pandemik maut Covid-19 yang masih aktif, beberapa syarikat penerbangan ternama dunia dilihat sudah menyusun alternatif untuk menjana pendapatan akibat kerugian yang berlaku.

Bukan sahaja Thai Airways, sebelum ini, Singapore Airlines (SIA) turut dikatakan bakal tampil dengan idea yang ‘tidak masuk akal’, namun mendapat tumpuan dan perhatian ramai.

SIA dikatakan sedang merancang penerbangan tanpa destinasi di mana perjalanan pergi dan balik di lapangan terbang yang sama (Changi) dan dijadualkan bermula pada penghujung Oktober depan.

Menariknya, penerbangan tersebut turut dipakejkan bersama penginapan hotel, baucar membeli-belah dan perjalanan feri limosin yang mana setiap penerbangan mengambil masa selama tiga jam.

Projek berkenaan bakal direalisasikan SIA selepas satu tinjauan menunjukkan 75 peratus dari 308 peserta menyatakan persetujuan membeli tiket bagi penerbangan berkonsepkan norma baharu itu.

Selain SIA, Ogos lalu, beberapa syarikat penerbangan ternama di Jepun dan Taiwan turut melancarkan kempen sama antaranya All Nippon Airways (ANA) dan Starlux Airlines.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI