fbpx

Putra gesa siasatan ke atas pindah milik tanah rizab Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamidah Osman (tengah) menunjukkan laporan polis berkenaan tanah rizab Melayu yang dipindah milik kepada bukan Melayu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap pihak yang terlibat dalam memberi hak milikan tanah rizab Melayu di Mukim Sitiawan di Manjung kepada bukan Melayu.

Pengerusi Penyelaras Putra Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, sebanyak 317 lot tanah seluas 649.19 hektar di kawasan berkenaan dipercayai telah didaftar dan dimiliki oleh individu bukan Melayu dan beragama Islam.

Katanya, pindahan milik ke atas tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu itu jelas bertentangan dengan Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri.

“Berdasarkan carian yang dilakukan, daripada 317 lot tanah tersebut, 20 lot dengan keluasan kira-kira 40 hektar telah didaftar dan dimiliki oleh orang bukan Melayu.

“Saya percaya telah berlaku salah laku dan penyalahgunaan kuasa oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan pihak-pihak tertentu dalam memberi milikan, pendaftaran dan pengeluaran hak milik tanah rizab Melayu ini kepada bukan Melayu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Hamidah yang juga Naib Presiden Putra membuat laporan polis bersama Setiausaha Penyelaras Putra Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Tambah beliau, pihaknya akan melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

“Ini merupakan satu kesalahan kerana tanah rizab Melayu tidak boleh dimiliki oleh orang bukan Melayu dan kami yakin ini adalah salah laku yang berlaku di PTG.

“Kita minta polis untuk siasat perkara ini dan kita juga mohon agar Mahkamah Tinggi isytihar proses pindah milik tersebut tidak sah dan tanah itu perlu dikembalikan kepada status asal,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidah turut meminta kerajaan negeri memberi penjelasan tentang lokasi gantian tanah seluas 8,691 hektar yang telah ditarik daripada status tanah rizab Melayu.

“Kita mahu bertanya kepada kerajaan negeri, tentang 8,691 hektar tanah yang telah ditarik status. Di mana tempat gantiannya dan jika tidak dibuat ganti maka penarikan status itu tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip ketika dihubungi memberitahu akan menyemak terlebih dahulu berhubung isu berkenaan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI