fbpx

KFA yakin selesaikan proses penswastaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh MOHD RAFIE AZIMI

ALOR SETAR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar menjadi antara faktor Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) belum melengkapkan proses pemisahan dan penswastaan kelab bola sepak (FC).

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini pihaknya berdepan masalah untuk menyelesaikan beberapa dokumen berkaitan memandangkan pejabat agensi terlibat yang berada di Kota Setar ditutup.

“Semua sedia maklum bahawa kita berdepan dengan pelaksanaan PKPD sejak 11 September lalu hingga esok.

“Apabila pejabat dibuka semula pada 26 September depan, kita akan selesaikan semuanya. Kita telah serahkan surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi meminta lanjutan namun jika permintaan itu tidak dibenarkan pun, kita yakin dapat selesaikan semuanya sebelum 30 September,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) berkaitan Covid-19 di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Tambahnya, antara dokumen yang belum diselesaikan adalah berkaitan urusan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya boleh katakan 98 peratus urusan termasuk nama dan logo telah selesai. Oleh itu para penyokong tidak perlu bimbang dan kita akan pastikan pasukan ini tidak tergelincir ke Liga M3,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini masih belum ada keputusan mengenai pemilik sebenar pasukan itu pada musim depan.

“Kita belum putuskan lagi sama ada nak jual kepada pemilik lain atau KFA sendiri yang memegang saham 100 peratus dalam Kedah FC.

“Kalau ada pihak lain yang berminat memiliki pasukan ini, kita terbuka tetapi mereka perlu datang dan tunjukkan kemampuan kewangan yang meyakinkan sebelum langkah seterusnya diambil,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan KFA terlebih dahulu memiliki kelab itu 100 peratus di awal proses penswastaan, sebelum sebahagian sahamnya dijual kepada pihak lain yang berkemampuan pada masa depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI