fbpx

Nilai kerugian industri pembinaan menurun kepada RM6.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai kerugian yang dialami industri pembinaan negara sewaktu fasa pertama dan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya diturunkan kepada RM6.9 bilion selepas 13 sub sektor industri pembinaan dibuka semula pada 15 April lalu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, susulan pelaksanaan PKP pada 18 Mac hingga 14 April lalu, industri pembinaan Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM11.6 bilion.

Menurut beliau, nilai projek pembinaan tahun ini juga merosot kira-kira 50 peratus kepada RM38.7 bilion berbanding RM71.5 bilion pada tahun 2019.

“Beberapa impak ketara akibat pandemik Covid-19 kepada industri pembinaan telah dikenal pasti, ia meliputi isu kewa­ngan, penyampaian projek dan ­ke­ka­ngan tenaga kerja.

“Antaranya ialah kehilangan penggajian dan upah pekerja pada kadar 30 peratus berjumlah RM3.3 bilion dan kemerosotan penggunaan bahan binaan sebanyak 42 peratus sebanyak RM4.6 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Bersama Penggiat Industri dan menteri di Kompleks Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya Malaysia di sini semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan lebih 40 wakil syarikat dan persatuan pembinaan.

Sementara itu, Mustapa menjelaskan, hasil sesi berkenaan, pihaknya bersetuju supaya satu platform diwujudkan dengan penglibatan penggiat industri bagi membincangkan isu dihadapi sektor pembinaan secara berkala.

“Industri pembinaan adalah sektor yang paling menerima kesan akibat pandemik dengan penguncupan sebanyak 44.5 peratus pada suku tahun kedua, berbanding penguncupan Ke­luaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 17.1 peratus.

“Sektor pembinaan sangat penting kerana ia melibatkan 1.5 juta pekerja serta mewakili kira-kira lima peratus KDNK,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI