fbpx

JAS NS keluarkan 225 kompaun kesalahan alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azuri (tiga dari kanan) dan Veerapan (tiga dari kiri) menunjukkan talian yang boleh dihubungi orang awam sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan pembuangan sisa toksik berhampiran tempat tinggal masing-masing.

Oleh NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan (NS) telah mengeluarkan sebanyak 225 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan dan mengesan kewujudan 15 kilang haram di negeri ini di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saedon berkata, daripada jumlah yang direkodkan dari awal tahun hingga kini itu, sebanyak 50 kertas siasatan telah di buka dan akan di bawa ke mahkamah untuk proses pendakwaan.

Bagaimanapun menurutnya, sebanyak 120 notis arahan telah dikeluarkan bagi memberi peringatan kepada kesemua individu, premis perniagaan dan lain-lain lagi yang telah melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.

“Sehingga kini, kita telah menjalankan pemeriksaan ke atas 810 premis. Antara notis dan kompaun yang dikeluarkan ialah membabitkan kegagalan premis dalam menguruskan bahan buangan terjadual, pembakaran terbuka dan ada juga kilang haram.

“Kebanyakkan aduan kilang haram yang kita terima ini ialah di Seremban, Kuala Pilah dan Tampin. Bagi pembakaran terbuka yang mampu memberi kesan kepada penipisan lapisan ozon pula sebanyak 17 kompaun telah dikeluarkan,” katanya

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Ozon Sedunia 2020 dan Kempen Kesedaran Perlindungan Lapisan Ozon serta Kempen Pengumpulan Household e-waste dan Barangan Kitar Semula Peringkat Negeri Sembilan, di Dewan Perdana Majlis Daerah Tampin, di sini, pagi tadi.

Pada program berkenaan sebanyak satu tan barangan kitar semula berjaya dikumpulkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata, Kerajaan Negeri saling bekerjasama dengan JAS dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menangani isu membabitkan jenayah alam sekitar.

Menurutnya, pihak Kerajaan Negeri telah mengeluarkan sebanyak RM200,000 peruntukan bagi membersihkan tiga lokasi sungai yang dicemari oleh sisa buangan.

“Tiga sungai berkenaan ialah Sungai Anak Air Garam di Rasah, Sungai Belihoi di Mantin dan Sungai Linggi.

“Kita juga giat melaksanakan pemutihan kilang haram di negeri ini dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar yang mampu memberi kesan buruk kepada penduduk,” katanya.

Selain itu, Veerapan turut berharap agar sambutan Hari Ozon Sedunia itu juga akan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap kepentingan mengetahui, melindungi serta menjaga lapisan ozon serta memupuk budayaan kebersamaan di dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar untuk diwarisi generasi akan datang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI